Rabu, 5 November 2014 | 7:50pm

Malaysia akan terus perbanyak produk kewangan Islam - Ahmad Maslan

TIMBALAN Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Malaysia akan terus memperbanyak produk kewangan Islam dalam usaha menjadi hab kewangan Islam antarabangsa, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Selain produk lazim iaitu bank Islam, insurans Islam (takaful) dan sukuk (bon), ada produk berpotensi yang perlu dikembangkan iaitu pewarisan harta Islam, wakaf, zakat dan sedekah, tambahnya.

"Selain itu, kita akan mengembangkan International Centre for Education in Islamic Finance (INCIEF) di bawah Bank Negara," katanya selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Pewarisan Harta Islam siri ketiga, di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ahmad berkata program ke arah peningkatan kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat perlu diteruskan oleh pelbagai pihak supaya kepincangan pengurusan kewangan dapat dielakkan pada masa depan.

Mengikut statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebanyak 292,775 individu mendapatkan khidmat kaunseling sejak penubuhannya.

"Faktor penyumbang utama masalah kewangan individu ialah perancangan kewangan yang lemah. Dari 2005 hingga 2012 pula, 243,823 individu diisytihar muflis akibat kegagalan melunaskan hutang masing-masing," katanya.

Konvensyen dua hari itu anjuran bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS); Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (IFWMI-USIM), Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) dan Persatuan Pengurusan Kewangan dan Harta Islam Malaysia (AIFIWM). - BERNAMA

Berita Harian X