Ahad, 29 Mei 2016 | 12:55pm

FMLLP masih mengharap Kelantan selesai isu tunggakan gaji

KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.- Foto Osman Adnan
KETUA Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.- Foto Osman Adnan

KUALA LUMUPUR: Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tetap mengharapkan supaya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan lima bekas pemainnya tanpa perlu berlarutan sehingga musim depan bagi mengelak pendaftarannya beraksi di Liga Super ditolak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, mengakui keputusan untuk menjatuhkan hukuman masih terletak di bawah bidang kuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika KAFA gagal menyelesaikan tunggakan sehingga 31 Mei ini, namun jika masalah itu berlarutan sehingga musim depan, FMLLP boleh menolak pendaftaran pasukan itu.

"Ini berikutan antara syarat pendaftaran bagi setiap pasukan me nyertai Liga Malaysia (Liga M) adalah tidak berdepan dengan masalah kewangan.

"Mereka juga perlu mengemukakan dokumen pengesahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) dan SOCSO kepada FMLLP ketika pendaftaran.

"Jadi, melihat kepada isu berkaitan, FMLLP boleh mengambil tindakan dengan meletakkan pendaftaran Kelantan bagi musim depan secara bersyarat atau lebih buruk, kami terpaksa menolak pendaftaran mereka untuk menyertai Liga Super," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Begitupun, Kevin menegaskan bahawa FMLLP masih bekerja mengikut sistem dan meletakkan kepercayaan kepada FAM untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia di bawah bidang kuasa badan induk itu.

"Namun, jika keadaan berlarutan tanpa ada langkah penyelesaian yang sewajarnya, FMLLP mungkin terpaksa 'campur tangan' kerana itu adalah langkah terakhir yang perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah terbabit," katanya.

Semalam media melaporkan cadangan untuk Kelantan disingkirkan ke Liga Perdana musim depan kerana gagal melunaskan tunggakan gaji lima bekas pemainnya musim lalu masih belum diputuskan oleh FAM.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah, berkata cadangan itu masih di peringkat rundingan antara FAM dan KAFA.

Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail sebelum ini dipetik sebagai berkata, akan mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan kepada FAM sekiranya masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain hingga 31 Mei ini.

Berita Harian X