Ahad, 29 Mei 2016 | 11:59am

Gatlin, Harrison cemerlang saingan Prefontaine Classic

JUSTIN Gatlin memenangi acara 100 meter di Prefontaine Classic. - Foto AFP
JUSTIN Gatlin memenangi acara 100 meter di Prefontaine Classic. - Foto AFP

EUGENE, Amerika Syarikat: Pelari pecut, Justin Gatlin mendahului dari awal larian untuk memenangi acara 100 meter di Prefontaine Classic, tatkala Kendra Harrison pula melakukan kejutan dalam acara 100 meter berpagar wanita.

Gatlin berkata, dia gembira dengan persembahannya tetapi lebih mengagumi rakan sepasukan Olimpik Amerika Syarikat (AS), Harrison yang hampir memecahkan rekod dunia 12.21 saat apabila mencatat 12.24 saat.

"Dia mencuri kegemilangan saya," kata Gatlin. "Ia satu persembahan menakjubkan."

Atlet kontroversi, Gatlin menguasai acara 100m dengan mendahului sebaik larian bermula dan merakam catatan terpantas tahun ini.

Juara Olimpik 2004 yang pernah digantung kerana doping antara tahun 2006 dan 2010, itu merakam 9.88 saat dengan bantuan angin di Hayward Field, Eugene.

Pelari pecut nombor satu dunia itu membuktikan prestasinya berada di tahap terbaik menjelang Olimpik Rio dengan mengatasi Asafa Powell dari Jamaica dan Tyson Gay (AS).

Bekas pemegang rekod dunia, Powell merakam 9.94 saat untuk tempat kedua dan juara bertahan Prefontaine, Gay melintasi garisan penamat pada catatan 9.98 saat.

Sementara itu Harrison turut meletakkan dirinya sebagai pilihan di Olimpik dalam acara yang dikuasai pelari AS dengan lima tempat teratas diisi pelari dari negara itu.

Pelari Bulgaria, Yordanka Donkova memegang dua rekod terpantas dalam sejarah, termasuk rekod dunia 12.21 saat yang dirakam pada Ogos 1988. Dia turut mencatat 12.24 pada tahun yang sama. - AFP

Berita Harian X