Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:50pm

Mayat lelaki dibungkus pukat ditemui


MAYAT lelaki yang ditemui berhampiran jeti di Kuala Muda, Kepala Batas, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

KEPALA BATAS: Seorang nelayan menemui mayat lelaki dalam beg plastik hitam yang dibungkus dengan pukat berhampiran jeti di Kuala Muda dekat sini, malam tadi.

Kejadian jam 9.20 malam itu disedari nelayan berkenaan ketika membersihkan bot miliknya sebelum memaklumkan penemuan itu kepada rakannya.

Difahamkan, mayat ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat bersama batu bata, dipercayai bagi menenggelamkannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam, berkata dipercayai dibuang di kawasan lain sebelum dihanyutkan ombak.

"Mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Berita Harian X