Selasa, 24 Mei 2016 | 2:02pm

Sarawak komited tingkatan pendapatan isi rumah luar bandar

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak yakin sasaran peningkatan pendapatan isi rumah di kawasan pedalaman dan luar bandar di negeri ini kepada RM4,000 sebulan mampu dicapai menjelang 2020.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri, khusus dalam memperkasakan sosioekonomi penduduk di kawasan terbabit, terutama berasaskan aktiviti pertanian.


TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Mohd Aidil Abdullah

"Di Sarawak ketika ini, 17.9 peratus isi rumah di kawasan pedalaman dan luar bandar berpendapatan antara RM3,000 hingga RM3,999 sebulan. Sebanyak 21.7 peratus dan 33.1 peratus lagi, masing-masing berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,999 sebulan dan RM1,999 sebulan ke bawah.

"Justeru, kita menyasarkan peningkatan pendapatan itu kepada RM4,000 sebulan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Ini tidak mustahil dicapai, lebih-lebih lagi melalui pelbagai aktiviti pertanian yang berpotensi menjana pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar di Bangunan Baitulmakmur, di sini.

Yang hadir sama Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Persisiri) dan Perikanan, Datuk Julaihi Narawi dan Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pedalaman) dan Perladangan, Datuk Francis Harden Hollis.

Uggah ketika mengulas lanjut, berkata Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak sedang merangka pelan tindakan bersesuaian dalam menjayakan misi berkenaan, termasuk mengenalpasti beberapa kekangan berkaitan.

"Ini termasuk usaha meningkatkan pengeluaran padi daripada 53 peratus kepada 60 peratus, selain pengeluaran daging lembu dan kambing yang kini sekitar 10 peratus kepada 15 peratus menjelang 2020.

"Ia bukan hanya bagi memastikan bekalan makanan dalam negeri sentiasa melepasi paras atau kadar mencukupi, malah turut menyumbang kepada usaha memperkasakan ekonomi luar bandar melalui penyertaan penduduk setempat dalam projek dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Projek Jelapang Padi Batang Lupar di Sri Aman merangkumi kawasan seluas 5,100 hektar dan Projek Padi Bario di Miri yang membabitkan kawasan seluas 285 hektar antara komponen terpenting dalam menjayakan usaha itu.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), kita akan melaksanakan dua lagi projek seumpamanya, masing-masing di Tanjung Purun, Lundu dan Sungai Tunoh, Kapit membabitkan keluasan 160 hektar," katanya. 

INFO:

- RM4,000 sebulan sasaran pendapatan isi rumah luar bandar menjelang 2020

- 60 peratus sasaran pengeluaran padi di Sarawak

- 5,100 hektar keluasan Jelapang Padi Batang Lupar

- 285 hektar keluasan Projek Padi Bario

Berita Harian X