Ahad, 22 Mei 2016 | 3:09pm

Iskandar tak puas hati sekadar gangsa di Taiwan

ISKANDAR Alwi .

KUALA LUMPUR: Atlet lompat galah kebangsaan, Iskandar Alwi menyifatkan prestasi dirinya tidak berada pada tahap terbaik ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan yang bermula Khamis dan berakhir kelmarin.

"Saya rasa persembahan saya agak teruk semalam kerana saya masih gunakan galah yang lama dan tidak dapat sesuaikan lagi bersama galah baharu tapi apa nak buat saya terima saja keputusan ini apabila mencatatkan ketinggian 5.05 meter (m).

"Saya akan cuba perbaharui catatan peribadi milik saya bagi membolehkan dapat raih lebih banyak kemenangan selepas ini. Rekod terbaik saya yang juga rekod kebangsaan adalah 5.20m yang dicipta di Kejohanan Lompat Galah Antarabangsa di Busan, Korea Selatan, tahun lalu," katanya.

Pada aksi di Taiwan, Iskandar terpaksa berpuas hati apabila hanya mencatatkan ketinggian 5.05m untuk meraih pingat gangsa. Perak milik Minsub Jin dari Korea dengan catatan 5.35m dan perak milik atlet tuan rumah, Ernest John Obiena, (5.25m).

Untuk rekod, Iskandar adalah pemenang pingat perak di temasya Sukan SEA, Myanmar 2013 dalam acara lompat bergalah selepas mencatatkan ketinggian 5.10m serta turut meraih pingat gangsa di temasya sama di Singapura tahun lalu selepas mencatatkan 5.05m.

Sementara itu, bagi acara pecut 200m lelaki yang berlangsung pada hari kedua menyaksikan dua wakil negara sekadar meraih tempat keempat dan kelima. Kedudukan keempat milik Aravin Thevarr Gunasegaran dan kelima, Jonathan Nyepa, masing-masing dengan kepantasan 21.49saat (s) dan 21.57s.

"Saya tak berpuas hati dengan larian saya semalam cuma masa saya di tahap sama, tak jauh sangat beza dengan catatan peribadi terbaik saya iaitu 21.56s yang dilakukan di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2015 di Gwangju, Korea Selatan.

"Apa pun saya perlu tingkatkan kelajuan memecut saya pada tahun ini," kata Jonathan, 20, dari Sarawak itu ketika dihubungi.

Hanya acara 4x100m wanita menyaksikan Malaysia meraih pingat emas menerusi gandingan Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Komalam Shelly selepas mencatatkan 45.53s. Perak menjadi milik Taiwan dan gangsa, Hong Kong.

Berita Harian X