Sabtu, 21 Mei 2016 | 5:51pm

Abang-abang keluar PAS kerana ada ulama pilihan sendiri - Nik Abduh

KETUA Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. - Foto Muhd Asyraf Sawal
KETUA Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Kemelut dialami PAS sebelum ini termasuk membabitkan tahaluf siyasi dengan DAP dan perpecahan dalam kalangan pimpinan tertinggi, disifatkan sebagai petunjuk Allah dalam mengekalkan parti itu di landasan perjuangan sebenar.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata parti itu keluar daripada pakatan pembangkang kerana kerjasama politik ketika itu banyak menimbulkan kesan negatif.

Katanya, identiti PAS sebagai parti yang berteraskan penyebaran dakwah mengenai perjuangan Islam akan terhakis jika kekal di takuk lama.

"Selepas keluar (daripada pakatan pembangkang), kita sedar berdepan dengan situasi sukar kerana orang beranggapan PAS berseorangan dan tidak sekuat dulu.

"Kekuatan kita bukan sekadar bergantung kepada Presiden (Datuk Seri Hadi Awang), sebaliknya dibina dalam tempoh yang panjang menerusi peralihan pemimpin.

"Krisis melanda PAS membuktikan pemimpin yang kita puja selama ini (sebenarnya) pemimpin yang lemah, ditimba pelbagai ilmu dan tarbiah daripadanya, namun akhirnya menyebabkan parti runtuh," katanya pada ucaptama merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Ke-31, hari ini.

Pada sidang media selepas itu, Nik Mohamad Abduh tidak menamakan pemimpin dimaksudkan secara khusus tetapi mengakui merujuk kepada semua ahli PAS yang keluar parti untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).

Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, mereka berpaling daripada perjuangan PAS berikutan hilang hormat terhadap kepemimpinan ulama sedia ada.

"Saya merujuk kepada semua, iaitu abang-abang yang pernah tarbiah dan mengingatkan kita supaya apa sekalipun berlaku, jangan sesekali mengkhianati parti.

"Antara sebab mengapa segelintir ahli PAS keluar parti adalah kerana mereka mempunyai pilihan ulama mana yang nak dihormati dan dibenci," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Mohamad Abduh berkata, Muktamar Dewan Pemuda PAS pada 31 Mei hingga 1 Jun ini di Kota Bharu, dijangka berlangsung dalam suasana terkawal dan berdisiplin.

Katanya, PAS tidak mengamalkan politik ekstrem hingga melangkaui batas moral dan tatasusila masyarakat, sebaliknya mengutamakan usaha merencana dasar yang memanfaatkan kebajikan rakyat.

Berita Harian X