Jumaat, 20 Mei 2016 | 3:36pm

Teknologi padi SeedGrowth sandaran Bayer kukuh operasi di Malaysia

Pengarah Urusan Bayer Malaysia, Manoj Saxen berucap pada Taklimat Media di Bayer Malaysia Perkenal Pengarah Urusan Baru dan Jawatan sebagai Life Science Syarikat di Ascent Paradigm, Petaling Jaya. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

PETALING JAYA: Bayer, firma farmaseutikal dan kimia, berhasrat untuk terus mengukuhkan operasinya di Malaysia menerusi program penanaman padi yang menggunakan teknologi 'Bayer SeedGrowth'.

Ia susulan kejayaan unit tempatannya, Bayer Malaysia untuk mengkomersialkan hasil tanaman padi yang menggunakan teknologi berkenaan pada awal tahun ini selepas program ujian dijalankan bersama 2,000 petani di Kedah dan Perlis sejak dua tahun lalu.

Program ujian itu dilaksanakan antara unit perniagaan sains tanaman Bayer Malaysia bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pengarah Urusan Bayer Malaysia, Manoj Saxena, berkata usaha sama antara firma berpangkalan di Jerman dan MADA itu membolehkan biji benih padi kering yang pertama seumpamanya di dunia berjaya dikomersialkan pada Januari lalu.

Beliau berkata, biji benih berkenaan memberikan hasil tanaman yang lebih berkualiti, sekali gus memberikan jumlah tanaman yang lebih besar dan seterusnya diterjemahkan kepada pendapatan lebih tinggi kepada petani.

"Berikutan itu, kami berminat untuk memperbaharui perjanjian jika ada peluang (berbuat demikian) yang boleh memberikan manfaat kepada petani di negara ini. Perkara itu sudah pasti berada di dalam agenda kami," katanya kepada media pada majlis pembukaan pejabat baharu Bayer Malaysia di sini, hari ini.

Pada 2014, Bayer menjalin perjanjian bersama MADA yang bermatlamat meningkatkan hasil tanaman padi dan pendapatan petani di Kedah serta Perlis.

Bermula dengan menyediakan biji benih terawat yang sedia digunakan, Bayer kemudiannya memberikan petani terbabit akses kepada peralatan rawatan biji benih sehingga berjaya dikomersialkan.

Program berkenaan membantu petani meningkatkan hasil tanaman hingga 22 peratus dan pendapatan pula bertambah hingga 28 peratus berbanding menggunakan kaedah tanaman tradisional.

Saxena berkata, Bayer juga menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak bermula tahun lalu bagi penanaman padi hibrid 'Arize', yang turut menjamin hasil tanaman lebih besar serta toleransi lebih baik kepada haiwan perosak dan banjir.

Katanya, kerjasama berkenaan dibuat bersama Kementerian Pemodenan Pertanian (MOMA) Sarawak dengan program ujian perintis dijalankan bersama 53 petani kecil di negeri itu.

Berita Harian X