Khamis, 19 Mei 2016 | 12:43pm

Bekas kerani bank hadapi 50 tuduhan menipu

TERTUDUH, Ahmad Fauzan Farhan (dua dari kanan) diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini. - Foto Adha Ghazali
TERTUDUH, Ahmad Fauzan Farhan (dua dari kanan) diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini. - Foto Adha Ghazali

KULIM: Seorang bekas kakitangan bank yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah atas 50 pertuduhan menipu membabitkan nilai keseluruhan RM63,700.

Tertuduh, Ahmad Fauzan Farhan Mohd Aisha, 23, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan melalui 17 kes yang dihadapinya itu dibacakan di hadapan Majistret R Manomani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang peniaga perabot, Ng Chun Huat, 27, untuk memasukkan wang ke dalam dua akaun bank miliknya, dengan meyakinkan mangsa bahawa dirinya mampu mendapatkan pinjaman wang RM300,000 yang diperlukan daripada sebuah bank.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara tempoh Disember 2015 hingga April lalu, masing-masing di rumah mangsa di Taman Serai Wangi dan di RHB Cawangan Padang Serai.

Semua 50 pertuduhan bagi 17 kes itu dibacakan secara berasingan dengan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ellyna Othman, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM1,500 dengan dua penjamin bagi setiap 17 kes yang dihadapi dan kes akan disebut semula pada 20 Julai ini.

Berita Harian X