X
Khamis, 19 Mei 2016 | 12:41pm

Pereka grafik didenda RM20,000

Seorang pereka grafik, Yunus Hasyim Yaakub, 29, di denda RM20,000 kerana mengaku bersalah memuat naik lukisan lucah di laman sesawang miliknya pada ogos tahun lalu di Mahkamah Sepang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Seorang pereka grafik, Yunus Hasyim Yaakub, 29, di denda RM20,000 kerana mengaku bersalah memuat naik lukisan lucah di laman sesawang miliknya pada ogos tahun lalu di Mahkamah Sepang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Seorang pereka grafik yang berkhidmat di syarikat swasta didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana mengaku bersalah memuat naik lukisan lucah di laman sesawang miliknya pada Ogos tahun lalu.

Hakim, Harith Sham Mohamed Yasin, turut memerintahkan tertuduh, Yunus Hasyim Yaakub, 29, menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kes pertuduhan, Yunus didakwa memuat naik lukisan lucah untuk tujuan perniagaan menerusi laman web www.gazellone.net.

Beliau yang menjalankan perniagaan dalam talian berkenaan di kediamannya beralamat di No.8, Jalan SS18/C, Subang Jaya, melakukan perbuatan itu pada jam 11.07 pagi 13 Ogos tahun lalu.

Mengikut fakta kes, orang awam yang ingin membeli lukisan lucah berkenaan perlu menjadi ahli terlebih dulu dengan membeli MOLPoints bernilai RM30 yang boleh didapati di kedai serbaneka 7Eleven.

Selepas membeli MOLPoints, mereka perlu menghantar nombor siri yang tertera pada MOLPoints itu kepada tertuduh melalui e-mel dan kemudian akan mendapat kata laluan untuk memasuki laman web berkenaan.

Ahli baharu akan menerima satu lukisan lucah secara percuma dan seterusnya perlu membayar serendah RM2 untuk mendapatkan lukisan lucah lain.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah meringankan hukuman dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama lagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria.

Berita Harian X