Khamis, 19 Mei 2016 | 9:24am

Anggota bomba parah, motosikal dinaiki langgar kereta


Motosikal rosak teruk dalam kemalangan di Kilometer 281 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Nilai. - Foto ihsan pembaca

SEREMBAN: Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 281 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Nilai, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7 malam itu, Pegawai Bomba Syamsul Azli Nazari, yang menunggang motosikal dipercayai melanggar sebuah kereta yang berhenti di laluan kecemasan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Md Hilman Abd Rashid, berkata mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Senawang dekat sini untuk bertugas di Putrajaya, mulai jam 8 malam tadi.

Katanya, Syamsul mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk, dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini dan dijangka dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

"Saya melawatnya malam tadi. Berdasarkan kecederaan yang parah, saya dan semua anggota bomba di Putrajaya berdoa supaya keajaiban berlaku dan dia kembali pulih," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Berita Harian X