Rabu, 18 Mei 2016 | 2:01pm

Polis tubuh CCSI siasat kes eksploitasi seks kanak-kanak

KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menubuhkan Unit Siasatan Seksual Siber Kanak-kanak (CCSI) bagi menjalankan siasatan berhubung kes eksploitasi dan serangan seks kanak-kanak melalui internet yang dilihat semakin berleluasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata unit di bawah kendalian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu dimulakan sejak awal bulan ini susulan pertambahan kes sejak kebelakangan ini.

"Kita sudah kesan beberapa kes membabitkan kanak-kanak seawal usia 13 dan 14 tahun yang diminta melakukan aksi seksual tidak sewajarnya oleh orang dewasa melalui modus operandi latihan seksual siber (cyber sexual grooming).

"Pelaku dikesan sebagai lelaki dari luar negara iaitu di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), manakala mangsanya adalah kanak-kanak di negara ini. Kegiatan ini menggunakan modus operandi seperti 'love scam'," katanya pada sidang media di Maktab Polis Cheras, di sini, sebentar tadi.

Khalid sebelum itu menghadiri Majlis Perasmian Penutup Seminar Pegawai Kanan Polis Wanita 2016 yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, pelaku biasanya mencari mangsa melalui medium media sosial seperti Facebook dan membina hubungan baik dengan mangsa dengan kata-kata manis.

"Selepas mendapat kepercayaan mangsa, pelaku akan meminta mangsa membuat aksi seksual di hadapan kamera untuk tontonan dan rakaman si pelaku.

"Kegiatan ini lanjutan jenayah pedofilia dan ia perlu disekat serta ditangani dari awal sebelum berlarutan," katanya.

Sementara itu, Rohani ketika mengulas perkara itu berkata, ibu bapa perlu memantau lebih rapi kegiatan anak-anak dalam penggunaan internet.

"Kadang-kadang ibu bapa rasa selamat apabila anak jarang keluar rumah, namun kita tidak tahu mereka mungkin menyalahgunakan internet," katanya.

Berita Harian X