Isnin, 3 November 2014 | 8:11pm

Razman Roslan akan kekal bersama skuad Tok Gajah

KETUA pasukan Pahang, Razman Roslan (kanan) bersama ketua pasukan JDT, Syafiq Rahim (kiri) memegang Piala Malaysia pada sidang media sebelum perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. - Foto Osman Adnan
KETUA pasukan Pahang, Razman Roslan (kanan) bersama ketua pasukan JDT, Syafiq Rahim (kiri) memegang Piala Malaysia pada sidang media sebelum perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. - Foto Osman Adnan

KUANTAN: Kapten Pahang, Razman Roslan yang menerajui skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia, Sabtu lalu akan kekal dengan pasukan itu pada musim depan walaupun sebelum ini dia dikatakan bakal kembali ke pangkuan Selangor.

Perkara itu dinyatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam sidang media selepas majlis sambutan khas di perkarangan Stadium Darul Makmur di sini, sebentar tadi.

"Saya akan cuba kekalkan skuad sedia ada dan mungkin akan menambah beberapa pemain baru, kita tetap ada kuota untuk pemain muda yang dinaikkan ke skuad utama.

"Razman akan kekal," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Tengku Abdul Rahman berkata, tiada sebab untuk PBNP untuk mengubah gabungan yang sudah berjaya membuahkan hasil tetapi dalam masa sama menyerahkan kepada pemain bagi menentukan nasib mereka.

"Mungkin ada tawaran lebih baik atau bermain di peringkat lebih tinggi (di tempat lain) tetapi saya akan buat tawaran yang bakal membuat mereka kekal.

"Cuma dari segi pemain import, Dickson (Nwakaeme) ada nyatakan untuk menjalani ujian di sebuah kelab di Perancis bagi mendapatkan kontrak" katanya.

Mengenai insentif kewangan kepada skuad Pahang, Tengku Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mencari dana tambahan selain daripada yang diberikan oleh kerajaan Pahang.

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya dan PBNP sedang membuat satu pengiraan sebelum mengumumkan jumlah insentif kepada skuad Pahang yang pada musim ini berjaya menjuarai Piala FA dan mengekalkan Piala Malaysia.

"Kita tidak boleh umum sekarang kerana takut kesannya kepada pasukan dan sukan lain, pokoknya jumlahnya lebih (berbanding insentif diberikan musim lalu)," katanya.

Berita Harian X