Selasa, 17 Mei 2016 | 6:04pm

Promosi RM40 bagi perjalanan MasterCard-ERL dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Promosi bersama Express Rail Link (ERL) dengan MasterCard yang menawarkan diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket dalam talian KLIA Ekspres, dilanjutkan sehingga 30 September 2016.

Menurut ERL, promosi berkenaan yang diperkenalkan pada Januari hingga Jun, dilanjutkan berikutan sambutan yang menggalakkan.

"Dengan diskaun sehingga 20 peratus, kami menawarkan tiket serendah RM40 dengan tiket pergi balik pada harga RM80 manakala tambang untuk satu perjalanan hanya dicaj RM44.

"Tawaran itu hanya membabitkan pembelian tiket satu perjalanan KLIA Ekspres Standard atau tiket perjalanan pergi balik dari laman web ERL, aplikasi mudah alih KLIA Ekspres serta melalui kiosk layan diri yang menggunakan kad kredit atau debit MasterCard.

"Untuk pelanggan yang tidak memiliki MasterCard, mereka masih boleh menikmati diskaun 10 peratus apabila membeli melalui saluran yang sama," kata ERL dalam kenyataan, semalam.

ERL juga menawarkan Pakej Keluarga dan Penjimatan Berkumpulan KLIA Ekspres berharga RM120 bagi perjalanan sehala untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak berusia dari dua hingga 12 tahun, dengan diskaun 25 peratus daripada nilai tambang biasa.

"Mereka yang melakukan perjalanan bersama-sama dalam kumpulan tiga atau lebih boleh menikmati diskaun dengan Penjimatan Berkumpulan pada harga RM40 untuk seorang (tambang KLIA Ekspres Standard bagi satu perjalanan adalah RM55)," katanya.

Pakej itu khas disediakan untuk masa yang terhad dan hanya boleh didapati melalui pembelian dalam talian pada www.KLIAekspres.com hingga 17 Julai 2016.

Berita Harian X