Isnin, 16 Mei 2016 | 12:10am

Pengunjung PBAKL 2016 lebih tegas dan berdisiplin pilih buku

ORANG ramai membeli buku di gerai menjual buku satu ringgit satu buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, MAEPS, Serdang. - Foto Owee Ah Chun
ORANG ramai membeli buku di gerai menjual buku satu ringgit satu buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, MAEPS, Serdang. - Foto Owee Ah Chun

DI SEBALIK kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 yang baru saja tamat, bunyi pahat masih kedengaran di kalangan pengamal industri penerbitan terutama penerbit kecil dan baharu yang mengeluh jualan tidak menggalakkan berbanding penganjuran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sebenarnya statistik yang diperoleh penganjur menunjukkan bilangan pengunjung bertambah.

Ini berbeza daripada jualan penerbit besar yang bertapak kukuh dalam industri dan mempunyai kelompok pembaca sendiri, selain penerbit yang menampilkan penulis dari golongan 'social media influencer' yang memiliki pengikut yang ramai.

Perubahan lokasi ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang tidak boleh disalahkan 100 peratus kepada penganjurnya. Ini kerana PWTC tidak lagi dapat menampung jumlah penerbit dan pengunjung, mengambil kira lokasi dewan pameran lain di sekitar ibu kota dari segi saiz ruang dan kos sewaan.

Seingat saya, sejak kecil lagi ibu bapa sudah membawa kami adik-beradik mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) setiap tahun sejak bertapak di Changkat Pavillion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hinggalah Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang. Sebagai pengunjung setia dan penulis yang bukunya dijual di PBAKL, saya mengikut perkembangan pesta buku terbesar ini.

Saya ke PBAKL hampir setiap hari yang boleh diibaratkan hari raya buat penulis dan sememangnya saya peminat buku tegar. Selain menjual buku, PBAKL juga masa untuk penulis bertemu, berkumpul dan beramah mesra sesama sendiri. Justeru, saya terpanggil berkongsi pemerhatian sebagai pengunjung setia terutama perubahan lokasi yang mengundang kontroversi.

PENGUNJUNG beratur di kaunter pembayaran bagi membayar buku yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, MAEPS, Serdang. - Foto Owee Ah Chun
PENGUNJUNG beratur di kaunter pembayaran bagi membayar buku yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, MAEPS, Serdang. - Foto Owee Ah Chun

Saya menetap di Seremban, iaitu berjarak 77 kilometer (km) ke PWTC, manakala MAEPS pula 58 km. Demi buku, pembaca di luar ibu kota, gigih mengunjungi PBAKL sama ada memandu kenderaan sendiri dan bayar parkir berkadar taraf ibu kota atau menaiki KTM Komuter dan turun di stesen Putra.

Tahun ini, saya mencuba sendiri naik shuttle bus yang disediakan penganjur dari Stesen LRT Bukit Jalil.

Tempoh menunggu sekitar 15 minit dan perjalanan ke MAEPS dalam 25 minit dengan tambang RM1 sehala. Shuttle bus juga disediakan di KTM Serdang dan Putrajaya Sentral.

Saya teringat semasa menyertai Festival Penulis Sydney 2014 di Walsh Bay, Sydney, Australia, iaitu pengalaman sama dilalui dengan menaiki shuttle bus dari Circular Quay ke Walsh Bay dengan tambang AUD1 sehala.

Perkhidmatan shuttle bus itu biasa diwujudkan di mana-mana acara bertaraf antarabangsa di seluruh dunia termasuklah Malaysia yang pertama kali diperkenalkan selepas lokasi baharu sedikit jauh dari stesen LRT.

Saya berpuas hati dengan shuttle bus PBAKL ini kerana terus ke dewan pameran tanpa perlu berpanas-panas berjalan kaki dari tempat parkir. Bagaimanapun, ada yang boleh ditambah baik oleh pihak PBAKL dan Nadi Putra sendiri, antaranya penambahan jumlah bas pada hujung minggu disebabkan kawasan di sekitar sesak dan mengakibatkan kelewatan.

PENULIS novel, Siti Rosmizah Semail (empat dari kiri) beramah mesra bersama peminat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016, MAEPS. - Foto Adi Safri
PENULIS novel, Siti Rosmizah Semail (empat dari kiri) beramah mesra bersama peminat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016, MAEPS. - Foto Adi Safri

PENGUNJUNG yang hadir pada hari akhir Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di MAEPS, Serdang. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGUNJUNG yang hadir pada hari akhir Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di MAEPS, Serdang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Parkir di MAEPS pula boleh memuatkan 6,000 kenderaan dalam satu masa yang jauh berbeza berbanding PWTC dahulu yang terhad dan mahal. Di lokasi baharu, ada dua kategori parkir, iaitu berbayar RM3 sekali masuk yang hampir dengan dewan pameran, dan kawasan percuma yang jauh sedikit tetapi disediakan perkhidmatan tram terus ke pintu dewan pameran.

Gerai makanan juga banyak dengan dua medan selera di Dewan A dan Dewan D, kafeteria di Dewan D serta food truck yang menawarkan daripada nasi lemak RM3.50 sehingga spageti RM12.

Keluasan MAEPS, dewan dan lorong antara reruai atau gerai memudahkan pergerakan pengunjung. Ibu bapa yang membawa anak kecil dalam kereta sorong dan pengunjung berkerusi roda lebih mudah. Tiada lagi adegan berhimpit dan bergesel terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Dewan lebih besar mampu menampung pertambahan penerbit yang semakin rancak, manakala lebih banyak ruang rehat diadakan sehingga kali ini barulah saya merasakan ia benar-benar pesta apabila banyak gerai aktiviti dibuka.

Beberapa pengunjung ditemui mengatakan mereka lebih selesa bergerak di MAEPS walaupun lokasi sedikit jauh dari pusat ibu kota sehingga ada yang pertama kali seumur hidup datang ke PBAKL kerana sebelum ini tidak mahu bersesak di tengah kota.

Sebagai orang industri, saya melihat tahun ini pengunjung lebih 'tegas' dan 'berdisiplin' dalam membeli buku. Rata-rata yang saya temui, menyediakan senarai buku untuk dibeli dan reruai atau gerai untuk dikunjungi.

Mereka mengatakan tidak mahu pening dan penat menjelajah seluruh pesta serta membelek buku satu persatu.

PENGUNJUNG memilih buku novel kegemaran mereka di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, MAEPS, Serdang. - Foto Owee Ah Chun
PENGUNJUNG memilih buku novel kegemaran mereka di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, MAEPS, Serdang. - Foto Owee Ah Chun

Apatah lagi dalam ekonomi begini. Peminat buku tetap membeli buku, namun kuantitinya dikurangkan. Jadi, penerbit dan penulis yang ada kumpulan peminat mempunyai kelebihan berbanding mereka yang kurang dikenali.

Bagaimanapun, tahun pertama di lokasi baharu sudah menyaksikan situasi penyesuaian awal yang dihadapi. Beberapa perkara perlu dipandang, ditambah baik dan diperkemaskan oleh MAEPS serta penganjur sendiri demi keselesaan pempamer dan pengunjung.

Saya fikir perkara sama berlaku sewaktu perpindahan PBAKL dari Changkat Pavillion ke PWTC dulu. Setiap perkara baharu, pasti ada cabaran berbeza seperti kita baru lahir ke dunia, tidaklah terus mampu berjalan dan melompat serta bercakap.

Peristiwa seperti hujan lebat dan ribut yang menyebabkan kerosakan terutama khemah di luar dewan patut diambil kira oleh MAEPS sendiri dan kontraktor terbabit. Pemasaran jenama PBAKL perlu sesuai dan disebarluaskan supaya lebih ramai pengunjung bertepatan dengan nama 'antarabangsa'.

Dari segi susunan reruai perlu lebih sesuai dengan pempamer. Ada beberapa reruai kecil buku komersial diletakkan di celah-celah gerai jabatan kerajaan sehingga terpaksa 'memanggil' pengunjung untuk memberitahu kewujudan mereka.

PENGARAH Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abd Wahab Ibrahim (tiga belas kanan) bersama Pengerusi Bersama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Ishak Hamzah (empat belas kanan) bersama duta duta buku pada hari akhir Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di MAEPS, Serdang. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGARAH Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abd Wahab Ibrahim (tiga belas kanan) bersama Pengerusi Bersama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Ishak Hamzah (empat belas kanan) bersama duta duta buku pada hari akhir Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di MAEPS, Serdang. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Apabila reruai jabatan kerajaan ditutup lebih awal, pengunjung beranggapan kawasan itu ditutup sama. Mungkin lebih sesuai kawasan reruai jabatan kerajaan disatukan, manakala pameran secara keseluruhan dibahagikan mengikut bidang masing-masing untuk memudahkan pelanggan mencari lokasi sasaran.

Di Dewan A3, situasi pendingin hawa tidak berfungsi sepanjang PBAKL berlangsung mencabar pempamer. Sebagai penyedia lokasi selama beberapa tahun untuk acara mega seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sewajarnya MAEPS jauh lebih bersedia menyambut rakan baharu dari industri buku yang produknya sudah tentu tidak sama dengan produk tanaman dan ternakan.

Saya dan rakan-rakan penulis, penerbit dan pengunjung mengharapkan PBAKL 2017 di MAEPS nanti akan berlangsung dengan jauh lebih baik. Kami suka kelebihannya dan mohon juga pandangan serta keresahan kami didengari demi kebaikan bersama. Di mana pun lokasinya, kami peminat buku akan tetap terus mengunjungi dan menyokongnya demi buku dan penyebaran ilmu di tanah air tercinta.

Pengarang kreatif dan jurulatih penulisan

Berita Harian X