Isnin, 16 Mei 2016 | 12:01am
MURID teruja memetik timun yang ditanam di kawasan sekolah.

Galak fertigasi di sekolah


PELAJAR UPSI (depan) sedang memberi tunjuk ajar kepada murid menanam timun dengan menggunakan kaedah fertigasi.

TANJUNG MALIM: Fakulti Pendidikan, Jabatan Sains Pertanian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), memperkenalkan penanaman sayuran menggunakan kaedah fertigasi, baru-baru ini, melalui Projek Rintis Tanaman Timun di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020.

Kaedah itu menggunakan sistem paip untuk menyalurkan air dan baja secara sistematik yang bukan sahaja memanfaatkan peranan teknologi dalam bidang pertanian tetapi juga dapat meningkatkan hasil tanaman.

Dua bekas besar disediakan untuk menakung air dan cecair baja organik sebelum disalirkan secara automatik ke tanaman setiap tiga minit, sekali gus membantu menghasilkan sayuran lebih segar serta bebas daripada baja kimia yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jimat ruang

Inisiatif itu juga menjimatkan ruang dengan benih pokok disemai dalam plastik terlebih dahulu sebelum dipindah ke kawasan penanaman berpalang untuk memudahkan air dan baja disalurkan.

Projek itu diketuai oleh pensyarah UPSI, Dr Mai Shihah Abdullah, dan dibantu tiga pelajar, Ahmad Asyraaf Ibeni, Muhd Azihan Che Husin dan Mohd Hisyamudin Abd Rahim.


SELEPAS 45 hari timun mula berbuah dan mengeluarkan hasil.

DUA mahasiswa UPSI (depan) sedang memberi tunjuk ajar kepada murid menanam timun dengan menggunakan kaedah Fertigasi.

Pihak UPSI menyediakan modal dan khidmat nasihat cara penanaman serta penjagaan tanaman timun kaedah fertigasi, manakala sekolah melaksanakan projek rintis itu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Penyelaras projek tanaman SK Bandar Behrang 2020, Dr S Shantarasekaran, berkata usaha itu membabitkan penanaman 100 pokok timun yang menyaksikan hasil mencecah 40 kilogram berjaya dituai.

Semakin teruja

Katanya, peluang diberikan oleh pihak UPSI ternyata berbaloi, lebih-lebih lagi murid yang terbabit semakin teruja hadir ke sekolah untuk memastikan kejayaan projek itu.


TIMUN hasil usaha fertigasi di UPSI.

MURID tekun menanam dan memastikan tanaman timun hidup segar.

"Pihak sekolah bercadang menambah bilangan pokok sayuran dalam projek akan datang. Hampir kesemua murid di sekolah ini tinggal di kawasan perumahan dengan ruang bercucuk tanam yang amat terhad, justeru projek ini boleh menjadi medan untuk mereka menimba ilmu pengetahuan mengenai pertanian.

"Tanah di kawasan sekolah pula dapat dimanfaatkan secara optimum dengan efisien, manakala kaedah digunakan turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar," katanya.

Fakta nombor

100 pokok timun ditanam menerusi projek rintis di SK Bandar Behrang 2020

40 kilogram hasil berjaya dituai

Berita Harian X