Sabtu, 14 Mei 2016 | 11:16am

Bolt kritik cara Van Gaal kendali United

PELARI terpantas dunia, Usain Bolt. - Foto Reuters
PELARI terpantas dunia, Usain Bolt. - Foto Reuters

GEORGE TOWN, CAYMAN ISLANDS: Pelari terpantas dunia, Usain Bolt masih menyimpan impian mewakili Manchester United namun hanya selepas Louis van Gaal tidak lagi menjadi pengurus skuad The Red Devils itu.

Bolt, pemegang rekod 100 meter dunia dengan catatan 9.58 saat dan 200 meter dunia 19.19 saat, mengulangi impiannya itu ketika bercakap menjelang perlumbaan pertamanya bagi tahun 2016 di Jemputan Cayman, semalam.

Bintang pecut Jamaica yang sudah sekian lama mengkritik cara Van Gaal mengendali United, berkata pengendali dari Belanda itu tidak menggunakan pemain pada posisi yang betul dan ia membawa kepada persembahan hambar gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Saya sudah menyokong United sekian lama. Saya masih berminat untuk beraksi buat mereka, tetapi jika Louis van Gaal menjadi pengendali, saya tidak begitu berminat," kata Bolt.

United kini menduduki tangga kelima EPL dengan mencatat 18 kemenangan serta sembilan seri daripada 37 perlawanan sebelum tiba ke hari terakhir esok - dua mata di belakang pasukan tangga keempat Manchester City.

Bolt, yang diramalkan akan membuka kempen tahun ini dengan berlari di bawah masa 9.91 saat, dijangka berdepan cabaran utama daripada rakan senegaranya Kemar Bailey-Cole dan Kemar Hyman dari Cayman Islands pada perlumbaan di Kompleks Sukan Truman Bodden. - AFP

Berita Harian X