Rabu, 11 Mei 2016 | 6:27pm

Adenan punca BN menang besar di Sarawak

PENSYARAH Kanan Jabatan Sosio Budaya Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berucap pada forum mengenai politik di Sarawak anjuran Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, hari ini. -Foto Rohanis Shukri
PENSYARAH Kanan Jabatan Sosio Budaya Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berucap pada forum mengenai politik di Sarawak anjuran Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, hari ini. -Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Sarawak yang diketuai Tan Sri Adenan Satem, menjadi punca utama kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), minggu lalu.

Pensyarah Kanan Jabatan Sosio Budaya Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata Adenan yang mengambil alih jawatan ketua menteri sejak dua tahun lalu, dilihat memberi kesan besar kepada rakyat pelbagai etnik di negeri itu.

Katanya, sifat dan personaliti yang dibawa beliau menunjukkan masyarakat Sarawak menyenangi perubahan yang dibawa sepanjang memimpin negeri itu.

"Sifat keterbukaan Adenan yang dilihat sangat popular dalam kalangan rakyat Sarawak menjadi faktor kemenangan BN. Beliau menyatukan semua etnik Sarawak sebagai satu nasionalisme baharu.

"Disebabkan itu, kami lihat dua pertiga kemenangan BN datang dari kawasan pedalaman dan luar bandar yang begitu yakin dengan kepimpinan Adenan," katanya dalam forum mengenai politik di Sarawak anjuran Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Beliau antara empat ahli panel dari pelbagai bidang yang membincangkan isu dan pola pengundian; amalan politik etnik dan pembangunan di Sarawak serta masa depan BN di Sarawak.

Tiga lagi ahli panel adalah Pensyarah Kanan Sejarah China Moden dan Sejarah Malaysia (Sarawak) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suffian Mansor; Pensyarah Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Madya Dr Zulkanain Abdul Rahman dan Pensyarah Jabatan Geografi Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof Madya Dr Rosmadi Fauzi.

Wakil Astro Awani, Nazri Kahar, bertindak sebagai moderator forum berkenaan.

Berita Harian X