Selasa, 10 Mei 2016 | 7:44am

Mahrez, Martial gondol anugerah utama bola sepak Facebook

Bintang Leicester City, Riyad Mahrez (kiri) dan penyerang Manchester United, Anthony Martial.
Bintang Leicester City, Riyad Mahrez (kiri) dan penyerang Manchester United, Anthony Martial.

LONDON: Bintang Leicester City, Riyad Mahrez dan penyerang Manchester United, Anthony Martial dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Anugerah Bola Sepak Facebook 2016 yang diumumkan, semalam.

Pemain sayap antarabangsa Algeria, Mahrez yang meledak 17 gol 11 gerakan terhadap gol dan menjadi antara tonggak kejayaan The Foxes menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) memenangi anugerah Pemain Terbaik manakala pemain Perancis, Martial, 20 dinamakan Pemain Muda Terbaik.

Anugerah terbabit adalah untuk kempen EPL musim ini yang diundi lebih sejuta pengguna Facebook dari 193 negara, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan laman sosial gergasi itu.

"Ia sesuatu yang istimewa dan juga sesuatu yang besar, kerana ia datang daripada seluruh dunia," kata Mahrez, 25 yang turut memenangi anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional (PFA).

"Saya berterima kasih kepada mereka dan juga kepada semua peminat saya. Saya sayang semua peminat saya. Saya amat gembira," katanya.

Martial dalam pada itu berkata; "Terima kasih kepada semua peminat Facebook kerana menyokong saya sebagai Pemain Muda Terbaik. Saya gembira bermain di Liga Perdana dan berharap akan terus menjaringkan gol dengan lebih banyak."

Leicester dinobatkan anugerah Kelab Terbaik manakala pengurusnya, Claudio Ranieri dinamakan Pengurus Terbaik.

Tiga pemain Leicester dan pasukan tempat kedua, Tottenham Hotspur masing-masing tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik iaitu Mahrez, Jamie Vardy dan Robert Huth manakala Harry Kane, Dele Alli dan Toby Alderweireld untuk Spurs.

Gandingan Manchester United, David de Gea dan Chris Smalling, pertahanan kiri Arsenal, Hector Bellerin, perancang West Ham United, Dimitri Payet dan penyerang Manchester City, Sergio Aguero melengkapkan senarai terbabit. - AFP

Berita Harian X