Selasa, 10 Mei 2016 | 12:11am
ANTARA baju dari koleksi terbaharu Hatta Dolmat.

Bunga popi jadi inspirasi rekaan Hatta


PERTUNJUKAN fesyen rekaan Hatta (tengah), Rayalution: Zalora Raya Fashion Festival 2016 di Hotel Le Meridien, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi

HAMPIR sedekad membina jenama, pereka fesyen Hatta Dolmat membuktikan jaringan dan rangkaian perniagaan itu sangat mustahak untuk dikenali dan terus dikehendaki dalam pasaran.

Dalam tempoh itu, Hatta menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi termasuk jenama FirstLady, pusat beli-belah Tesco dan portal beli-belah dalam talian Zalora.

Beliau berasakan kolaborasi bersama pihak lain memberikan peluang untuk mendekati lebih ramai pelanggan. Tahun ini adalah usaha sama ketiga beliau dengan Zalora.

"Di butik, saya menyediakan pakaian tempah tetapi bersama kolaborasi saya boleh menghasilkan pakaian yang boleh digayakan oleh ramai orang kerana harga ditawarkan amat berpatutan. Alhamdulillah, menerusi tugasan seperti ini, ramai yang boleh menggayakan jenama saya," katanya selepas pertunjukan fesyen Rayalution: Zalora Raya Fashion Festival 2016, baru-baru ini.

Hatta berkata, dunia fesyen memerlukan pereka yang tidak tandus idea, malah sentiasa terkini dari segi maklumat dan perkembangan semasa.

"Untuk bertahan, setiap pereka perlu ada identiti dalam rekaan dan mudah menerima idea baharu. Kita perlu terbuka dan tidak terikat dengan gaya sendiri kerana apabila rasa terikat, kita akan menghasilkan rekaan yang statik," katanya.


KOLEKSI raya Hatta untuk Zalora menampilkan bunga yang tidak popular dalam industri, iaitu popi, untuk mencetus kelainan dalam koleksinya ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Bunga popi

Koleksi raya Hatta untuk Zalora menampilkan bunga yang tidak popular dalam industri, iaitu popi, untuk mencetus kelainan dalam koleksinya ini.

Kelopak popi sedang mekar, memercik gaya mewah atas fabrik satin. Penggunaan rona lembut, tetapi bertenaga membangkit rasa ceria pemakai dalam persalinan kurung moden. Ia turut menjadi hiasan dalam persalinan jubah.

"Bunga ini banyak warnanya dan berharap ramai yang menyukainya," katanya. Sebanyak 26 koleksi boleh dibeli pada harga di bawah RM500. Hampir semua koleksi didatangkan dalam gaya potongan longgar untuk keselesaan pengguna.

Koleksi ini turut menyediakan pakaian untuk lelaki, yang mana Hatta mencipta gaya luar biasa menerusi permainan potongan panel menggunakan rona kontras.

Berita Harian X