Selasa, 19 Ogos 2014 | 8:08pm

Korban Ebola kini mencecah lebih 1,200: WHO

GENEVA: Wabak Ebola yang menular di Barat Afrika sudah mengorbankan lebih 1,200 orang sejak ia dikesan pada Disember 2013, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Lebih 2,200 orang sudah dijangkiti virus yang membawa maut itu, kata WHO memberikan angka terkini wabak itu.

Pihak berkuasa kini bertungkus-lumus untuk mengawal wabak itu daripada merebak yang dikesan bermula di Guinea sebelum menular ke Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.

Susulan itu, beberapa peraturan dikeluarkan, termasuk perintah kuarantin dan larangan perjalanan kepada mereka yang menghidap dan dijangkiti Ebola.

Program Pemakanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, badan itu sudah menyediakan pelan untuk mengagihkan makanan kepada sejuta orang dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Saya fikir ia adalah keperluan yang mendesak untuk semua negara," kata jurucakap WHO,

Fadela Chaib.

"Saya tidak ingat bila kali terakhir kami memberikan makanan kepada lebih sejuta orang dalam keadaan ketika kuarantin," katanya. - AP

Berita Harian X