Sabtu, 1 November 2014 | 2:33pm

Karim dipilih terajui KOM; Muthu jadi timbalan baharu

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dipilih menerajui badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), hari ini.

Karim yang dicabar bekas Timbalan Presiden, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Presiden menang dengan jumlah 33 undi daripada keseluruhan 41 undi.

Karim yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung akan memegang jawatan itu bagi penggal 2014 hingga 2016.

Jawatan Timbalan Presiden yang turut menampilkan perlawanan satu lawan satu menjadi milik Datuk S M Muthu.

AGM yang bermula pada 10 pagi berlanjutan kira-kira lebih empat jam apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga bekas presiden membuat pusingan U apabila mengumumkan akan bertanding.

Begitupun, beliau yang mempunyai tugas rasmi di Perlis tidak hadir ke mesyuarat itu dan menarik balik keputusannya menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara Karim dan Hisham.

Shahidan pernah menjawat jawatan Presiden persatuan itu dari tahun 2006 hingga 2012.

Begitupun, Karim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perak dijangka berdepan tugas getir membawa badan induk itu selepas dilihat tidak mendapat sokongan bekas atlet dan jurulatih.

Malah ada di antara mereka membuat tindakan menghantar memorandum kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menolak pencalonannya.

Pada pemilihan dua tahun lalu, Shahidan tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad yang membuat keputusan mengekalkan jawatannya dengan perbezaan dua undi.

KOM ketika ini berada dalam tekanan dengan kemerosotan prestasi atlet olahraga negara di pentas antarabangsa.

Berita Harian X