Jumaat, 29 April 2016 | 9:10pm
KEADAAN bot dinaiki pelancong Hong Kong yang terbalik di perairan berhampiran Sutera Harbour, Kota Kinabalu.
KEADAAN bot dinaiki pelancong Hong Kong yang terbalik di perairan berhampiran Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

Bot terbalik, 2 pelancong cedera

PELANCONG Hong Kong diselamatkan oleh anggota PPM Kota Kinabalu.
PELANCONG Hong Kong diselamatkan oleh anggota PPM Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua pelancong Hong Kong cedera manakala lima lagi terselamat selepas bot dinaiki bersama dua juragan warga tempatan, terbalik dipukul ombak di perairan berhampiran jeti Sutera Harbour di sini, petang tadi.

Insiden kira-kira jam 4 petang itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke jeti Sutera Harbour selepas memancing berhampiran Pulau Tiga dan Mamutik.

Kejadian menyebabkan dua pelancong lelaki terbabit cedera di perut dan kaki kiri dipercayai terkena bot, namun dilaporkan stabil sebaik menerima rawatan di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata semua mangsa berusia 32 hingga 60 tahun itu mula meninggalkan jeti Sutera Harbour pada jam 8 pagi untuk memancing di perairan Pulau Tiga dan Pulau Mamutik.

"Dalam perjalanan pulang, bot dinaiki dipukul ombak lalu terbalik kira-kira 0.3 batu nautika dari jeti Sutera Harbour.

"Semua mangsa berpaut pada bot sebelum diselamatkan oleh sepasukan anggota PPM kira-kira 20 minit kemudian," katanya di sini, sebentar tadi.

Chandra berkata, semua mangsa dibawa ke Jeti PPM Kota Kinabalu jam 5.20 petang untuk tindakan lanjut.

"Cuaca buruk dan angin kencang menjadi punca bot berkenaan terbalik," katanya.

Berita Harian X