Khamis, 28 April 2016 | 12:12am

Kafe siber buka 24 jam


KUALA LUMPUR: Pemilik kafe siber kini cenderung beroperasi melepasi jam 12 tengah malam, bagi membolehkan pelanggan mereka menyertai permainan komputer atas talian, membabitkan lawan di luar negara.

Mereka mendakwa, langkah melanjutkan waktu perniagaan itu bertujuan memenuhi permintaan pelanggan termasuk golongan pelajar, yang menjadi peminat tegar permainan berkenaan.

Tinjauan BH sekitar Taman Desa di sini, mendapati dua kafe siber yang beroperasi 24 jam di situ, masing-masing dilengkapi sekurang-kurangnya 40 set komputer, kelihatan masih bertali arus dengan pelanggan walaupun pada awal pagi.

Pekerjanya yang enggan dikenali, mendakwa sebahagian besar pelanggannya adalah peminat tegar permainan dalam talian, di mana ramai dalam kalangan mereka beradu kecekapan dengan pemain di luar negara, sekali gus membuatkan mereka bermain tanpa mengira waktu.

OPERASI kafe siber selepas jam 12 tengah malam dibuat kerana permintaan pelanggan. Foto Mohd Fadli Hamzah
OPERASI kafe siber selepas jam 12 tengah malam dibuat kerana permintaan pelanggan. Foto Mohd Fadli Hamzah

"Ada yang bermain 24 jam dengan hanya berhenti untuk ke tandas. Ketika cuti panjang, ada yang dua tiga hari berada di sini untuk bermain. 

"Kebanyakannya meminati Permainan Video Berperanan Berganda Dalam Talian atau Massively Multiplayer Online Role-Playing Game (MMORPG) iaitu genre permainan video komputer yang membolehkan sekumpulan pemain berinteraksi antara satu sama lain di alam maya. 

"Antara permainan yang popular ketika ini ialah Dota 2; World of Warcraft; Clash of Clans (COC) dan Elder Scrolls Online. Ada yang taksub sehingga lupa makan minum sampai kami terpaksa memujuk mereka supaya pulang.

"Saya tidak tahu ada larangan kafe siber tidak boleh beroperasi lepas jam 12 tengah malam kerana pelanggan sentiasa ada sepanjang kami beroperasi," katanya.

PEMINAT menguji kemahiran dalam permainan komputer, Dota 2: World of Warcraft, secara atas talian.
PEMINAT menguji kemahiran dalam permainan komputer, Dota 2: World of Warcraft, secara atas talian.

Beliau mengakui ada dalam kalangan pelanggan mereka setiap hari terdiri daripada pelajar yang ponteng, selepas dihantar ibu bapa ke sekolah.

"Kami tidak boleh halang mereka daripada masuk bermain di sini, jika datang ke sini dengan berpakaian biasa," katanya.

Pekerja kafe siber berasingan, berkata pelanggan sekarang lazimnya datang untuk perjudian atau permainan dalam talian terpaksa ikut waktu antarabangsa, termasuk selepas tengah malam sehingga lewat pagi.

"Kami hanya melarang pelajar memasuki kafe siber jika berpakaian seragam tetapi dari segi waktu operasi, memang tidak pernah tutup. Kami bekerja tiga syif di sini, setiap pekerja bertugas lapan jam kerana pelanggan sentiasa ada.

PENGUSAHA kafe siber tidak mengendahkan larangan beroperasi selepas jam 12 tengah malam, pelanggan masih bertali arus pada awal pagi.
PENGUSAHA kafe siber tidak mengendahkan larangan beroperasi selepas jam 12 tengah malam, pelanggan masih bertali arus pada awal pagi.

"Memang ramai pelajar ketagih permainan ini dan sebahagian besar menghabiskan masa di sini manakala perjudian dalam talian lebih diminati golongan dewasa.

"Dulu memang ada masalah dengan sesetengah pelanggan yang melayari laman sesawang lucah tetapi sekarang tidak ada lagi selepas kami sekat akses, majoriti pelanggan datang untuk permainan dalam talian dan perjudian internet," katanya.

Situasi sama dikesan dekat Dengkil, Sepang, apabila ada kafe siber masih beroperasi pada jam 2 pagi, walaupun jadual perniagaan yang ditampal pada cermin pintu masuknya jelas tertera sehingga jam 12 tengah malam.

Secara umumnya, setiap kafe siber mengenakan bayaran RM2.50 sejam dan diskaun diberikan apabila pelanggan melanjutkan tempoh penggunaan komputer.

TINJAUAN Kafe Siber yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka selepas jam 12 tengah malam. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TINJAUAN Kafe Siber yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka selepas jam 12 tengah malam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Selain bayaran mengikut kemasukan, ada kafe melaksanakan program keahlian dengan tawaran harga diskaun serendah RM2 sejam dalam usaha menjadikan pengunjung sebagai pelanggan tetap.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Puasa Md Taib, menegaskan operasi pusat atau kafe siber sekitar kawasan pentadbirannya adalah terhad daripada jam 7 pagi hingga 12 tengah malam saja.

"Pengunjung di bawah usia 12 tahun, dibenarkan mengunjungi pusat atau kafe siber sehingga jam 10 malam sahaja dengan ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang sah sepanjang masa.

"Selain itu, tiada kelonggaran atau pengecualian waktu operasi bagi pusat atau kafe siber, mahupun yang terletak berhampiran pusat pengajian," katanya.

KAFE siber masih meneruskan perniagaan mereka selepas jam 12 tengah malam. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KAFE siber masih meneruskan perniagaan mereka selepas jam 12 tengah malam. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Puasa berkata, pengusaha pusat atau kafe siber boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Siber Dan Kafe Siber (Majlis Perbandaran Sepang) 2007 dan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Kerajaan Tempatan) PBT:SPBT bil.2/2012 sekiranya melanggar peraturan.

"Lesen boleh dibatalkan sekiranya pemilik premis membuat perlanggaran syarat atau larangan melebihi tiga kali setahun," katanya. 

Katanya, antara syarat yang perlu dipatuhi bagi pengoperasian sesebuah pusat atau kafe siber termasuk pengusaha perlu mengisi borang permohonan lesen berisiko di MPSepang dan mengembalikan permohonan lengkap untuk diproses.

"Mereka juga perlu mendapatkan kelulusan dan ulasan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan mendapat kelulusan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan.

"Selain itu, pusat atau kafe siber juga hanya boleh beroperasi di kompleks perniagaan, rumah kedai atau kedai pejabat saja," katanya. 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X