X
Selasa, 26 April 2016 | 9:03pm

Skuasy Dunia: Nicol mandi peluh sebelum mara

DATUK Nicol David beraksi menentang Rachael Grinham di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Osman Adnan
DATUK Nicol David beraksi menentang Rachael Grinham di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David bergelut untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Dunia selepas menewaskan Rachael Grinham dari Australia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Nicol yang kini menduduki ranking kelima dunia mengambil masa 47 minit sebelum menang 11-4, 8-11, 8-11, 11-1, 11-2 ke atas bekas pemain nombor satu dunia itu yang pernah pada satu ketikanya menjadi musuh ketatnya. 

Begitupun, anak jati Pulau Pinang itu terpaksa berdepan detik cemas apabila tumpas pada set kedua dan set ketiga untuk ketinggalan 2-1 kepada Rachael sebelum bangkit pada dua set berikutnya.

Lawan yang akan ditemuinya pada pusingan kedua esok adalah pemenang perlawanan antara pemain England Allison Waters dan Heba El Torky dari Mesir manakala seorang lagi pemain negara Delia Arnold akan bertemu pilihan keenam Omneya Abdel Kawy selepas menang ke atas pemain Mesir, Mariam Metwalley semalam.

Sementara itu, Mesir terus menunjukkan penguasaan mereka selepas tiga lagi pemainnya mara ke pusingan kedua sekali gus menyertai tiga pemain yang terlebih dulu layak pada aksi semalam.

Bermula dengan bintang nombor dua dunia Nour El Sherbini yang menundukkan pemain Australia Donna Urquhart 11-6, 11-6, 11-6, penguasaan Mesir jelas sukar digugat.

Selepas itu tiba giliran Nouran Gohar bangkit menewaskan wakil Perancis Coline Aumard 10-12, 11-6, 11-5, 11-7 manakala pemain ke-50 dunia Nadine Shahin mencipta sensasi dengan menewaskan pemain yang berada 36 anak tangga di atasnya Jenny Duncalf 11-6, 11-7, 11-9.

Keputusan:

Nicol David (MAS) mn Rachael Grinham (AUS) 11-4, 8-11, 8-11, 11-1, 11-2; Camille Serme (PER) mn Joey Chan (HKG) 11-9, 11-6, 5-11, 11-4; Sarah Jane Perry (ENG) mn Olivia Blatchford (AS) 11-4, 11-6, 11-6; Nadine Shahin (MES) mn Jenny Duncalf (ENG) 11-6, 11-7, 11-9; Nouran Gohar (MES) mn Coline Aumard (PER) 10-12, 11-6, 11-5, 11-7; Nour El Sherbini (MES) mn Donna Urquhart (AUS) 11-6, 11-6, 11-6; Annie Au (HKG) mn 11-8, 11-9, 6-11, 6-11, 11-7.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X