Selasa, 26 April 2016 | 4:47pm

Kuasa pengampunan terletak pada Agong: Peguam Kanan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu kuasa untuk memberikan pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, hanya terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berkata, pihaknya berhujah bahawa keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar dan disemak oleh mana-mana mahkamah.

Artikel 42 menyatakan Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi pengampunan dan menunda hukuman berhubung segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan kesalahan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, peguam N Surendran berkata pihaknya berhujah bahawa persoalan sama ada keputusan Lembaga Pengampunan yang tidak memberikan pengampunan kepada Anwar boleh disemak mahkamah atau sebaliknya, sepatutnya dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan pada 17 Mei ini bagi keputusan bantahan awal Pejabat Peguam Negara terhadap permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dikemukakan Anwar dan keluarganya bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunannya.

Melalu prosiding dalam kamar hakim itu, Anwar mewakili dirinya sendiri, Surendran mewakili Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Nurul Nuha.

Anwar yang kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, dan keluarganya memfailkan permohonan kebenaran itu pada 24 Jun tahun lalu, dengan menamakan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Anwar dan ahli keluarganya memohon satu perintah mewajibkan Peguam Negara bermesyuarat semula, selaras Peruntukan Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan dan mempertimbangkan semula material berkaitan petisyen Lembaga Pengampunan serta memberikan nasihat yang sepatutnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berita Harian X