
LONDON: Penyerang Leicester City, Jamie Vardy akan terlepas perlawanan ketika pasukan pendahulu Liga Perdana itu berkunjung ke Manchester United Ahad ini selepas digantung untuk satu perlawanan tambahan kerana berkelakuan tidak baik, lapor BBC.
Vardy yang kini menjadi penjaring kedua terbanyak liga dengan 22 gol, berdepan pengadil Jon Moss dengan marah selepas menerima kad kuning kedua kerana merebahkan badan ketika Leicester seri 2-2 berdepan West Ham pada 17 April.
Selepas tidak bermain ketika menang 4-0 mengatasi Swansea Ahad lalu, Vardy kini digantung bagi pertemuan di Old Trafford, ketika Leicester boleh muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali pertama jika menang.
Penyerang berusia 29 tahun itu yang juga didenda STG10,000 pound (RM60,000) boleh bermain untuk dua perlawanan terakhir musim ini berdepan Everton dan Chelsea. - REUTERS