Isnin, 25 April 2016 | 12:00am

Petrol daripada plastik buangan

ANTARA sebahagian pempamer dan orang awam yang hadir pada Festival Antarabangsa Inovasi Teknologi Hijau (i-FINOG 2016) di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang

GAMBANG: Petrol dihasilkan daripada bahan buangan plastik seperti botol syampu dan karung sampah, adalah antara produk berpotensi besar diketengahkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada Festival Antarabangsa Inovasi Teknologi Hijau (i-FINOG) di sini, baru-baru ini.

Inovasi kumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli itu memiliki kualiti setanding petrol sedia ada dalam pasaran dari segi nilai Research Octane Number (RON), iaitu mencecah RON100 yang sesuai digunakan untuk enjin berprestasi tinggi.

Pensyarah Kanan UMP yang juga penyelia kumpulan penyelidik itu, Ruzinah Isha, berkata mereka berjaya menghasilkan petrol dengan nilai RON103 daripada botol syampu, manakala RON98 pula menggunakan bahan buangan polistirena.

Katanya, bahan bakar RON103 itu berpotensi dipasarkan pada harga RM1.14 seliter yang jauh lebih rendah berbanding kadar dalam pasaran ketika ini.

PEMPAMER daripada UMP, Mohd Ali Mohd Kucheb (kiri), Muhamad Nurfaiz Azmy (tengah) dan Ali Zaynal Abidin Othman (kanan) menunjukkan minyak yang diproses daripada bahan buangan plastik pada Festival Antarabangsa Inovasi Teknologi Hijau (i-FINOG 2016) di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Proses sisa sifar

Lebih istimewa, beliau berkata, penghasilan petrol itu menerapkan teknologi hijau, iaitu proses sisa sifar berikutan sisa pepejal dan gasnya boleh dikitar semula menjadi bahan bakar pendandang atau sumber karbon untuk pembajaan tumbuhan.

"Petrol daripada bahan buangan plastik dihasilkan menerusi proses 'Pyrolysis' membabitkan penguraian plastik pada suhu tinggi menggunakan abu kelapa sawit sebagai bahan pemangkin.

"Keupayaan petrol itu terbukti apabila diuji pada mesin pemotong rumput. Kini, ia dalam proses ujian penggunaan pada enjin kenderaan dengan kerjasama Fakulti Mekanikal UMP," katanya.

Ruzinah menjalankan penyelidikan itu dengan bantuan tiga pelajar UMP, Muhamad Nurfaiz Azmy, Mohd Ali Mohd Kucheb dan Ali Zaynal Abidin Othman.

Festival anjuran julung kali UMP itu menampilkan 200 hasil penyelidikan menggunakan teknologi hijau, termasuk inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bahaman, Lanchang, Pahang, yang menyaksikan penggunaan lapisan batang pokok pisang menggantikan polibeg untuk semaian pokok.

PEMPAMER daripada SMK Datuk Bahaman, Muhammad Hafizuddin Halim (kiri), Nasiruddin Nazeri (tengah) dan Wan Aman Iqmal Mohamad Redzuan (kanan) menunjukkan Orga Pocket with Planting pada Festival Antarabangsa Inovasi Teknologi Hijau (i-FINOG 2016) di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang. - Foto Farizul Hafiz Awang

Tidak perlu disiram

Produk dikenali sebagai Orga Pocket itu dihasilkan oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Tiga, iaitu Muhammad Hafizuddin Halim, Nasiruddin Nazeri dan Wan Aman Iqmal Mohamad Redzuan.

Proses penghasilan Orga Pocket mudah, iaitu lapisan batang pokok pisang dipotong dengan ukuran panjang kira-kira 30 sentimeter sebelum dijemur selama dua hari dan akhirnya dilipat serta dikemaskan menjadi bentuk kantung untuk diisikan dengan tanah.

Antara kelebihan penggunaan Orga Pocket ialah tanaman tidak perlu disiram tetapi hanya direndam dengan paras air minimum kerana keupayaan batang pokok pisang menyerap kelembapan.

Selain itu, ia juga boleh ditanam bersama-sama pokok ketika proses pemindahan ke tanah atau pasu, sekali gus menjadi sumber pembajaan.

INFO

Petrol daripada bahan buangan plastik

  • Menerapkan teknologi hijau.
  • Proses sisa sifar.
  • Dihasilkan melalui proses 'Pyrolysis'.
  • Berpotensi dipasarkan pada harga lebih rendah.

Berita Harian X