Ahad, 24 April 2016 | 8:37pm

Blatchford kejutkan juara dunia empat kali

OLIVIA Blatchford membalas pukulan Natalie Grinham pada aksi peringkat kelayakan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
OLIVIA Blatchford membalas pukulan Natalie Grinham pada aksi peringkat kelayakan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain ranking ke-20 dunia, Olivia Blatchford dari Amerika Syarikat membuat kejutan dengan menundukkan juara dunia empat kali, Natalie Grinham untuk mara ke undian utama Kejohanan Skuasy Wanita Dunia NAZA PSA.

Blatchford, 23, yang berasal dari New York hanya mengambil masa 33 minit untuk menewaskan pemain dari Belanda itu, 11-7, 11-9, 11-7 dalam perlawanan terakhirnya di peringkat kelayakan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Turut mara ke undian utama ialah pemain muda Mesir, Nadine Shahin, 18, yang menewaskan pemain nombor 25 dunia, Line Hansen dari Denmark 10-12, 11-7, 11-7, 11-4.

Tumpuan perlawanan peringkat kelayakan itu adalah pertemuan antara dua pemain Mesir - Mariam Metwally dan Amira Yousry - yang menyaksikan Mariam menang 11-13, 11-2, 11-2, 9-11, 11-9 dalam pertarungan yang mengambil masa 68 minit.

Sebagai rekod, semua lapan pemain muda negara tewas di pusingan pertama peringkat kelayakan semalam.

Tiga pemain utama negara - Datuk Nicol David, pemain ranking ke-15 dunia, Delia Arnold dan pemain nombor 42 dunia, Low Wee Wern - yang layak terus ke undian utama, akan membuka cabaran masing-masing esok dan Selasa.

Delia yang juga juara kebangsaan akan berdepan Mariam manakala Wee Wern yang diberikan tiket wild card, diundi menentang pemain veteran New Zealand, Joelle King, dalam perlawanan yang akan diadakan esok.

Nicol yang memburu gelaran dunia kali kesembilan buat kali pertama di laman sendiri, akan berdepan juara edisi 2007, Rachel Grinham dari Australia dalam perlawanan pusingan pertamanya pada Selasa.

Ratu skuasy negara itu telah memenangi kejohanan ini lapan kali pada 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.

Jadual perlawanan pusingan pertama:

25 April:

[1] Laura Massaro (ENG) mln Samantha Teran (MEX)

Victoria Lust (ENG) mln [14] Joshna Chinappa (IND)

[15] DELIA ARNOLD (MAS) mln Mariam Metwally (EGY)

Emily Whitlock (ENG) mln [6] Omneya Abdel Kawy (EGY)

[7] Amanda Sobhy (USA) mln Megan Craig (NZL)

Liu Tsz-Ling (HKG) mln [9] Nour El Tayeb (EGY)

[12] Joelle King (NZL) mln LOW WEE WERN (MAS)

Tesni Evans (WAL) mln [3] Raneem El Welily (EGY)

26 APRIL:

[4] Camille Serme (FRA) mln Joey Chan (HKG)

Olivia Blatchford (USA) mln [13] Sarah-Jane Perry (ENG)

[16] Jenny Duncalf (ENG) mln Nadine Shahin (EGY)

Coline Aumard (FRA) mln [8] Nouran Gohar (EGY)

[5] Nour El Sherbini (EGY) mln Donna Urquhart (AUS)

Dipika Pallikal (IND) mln [11] Annie Au (HKG)

[10] Alison Waters (ENG) mln Heba El Torky (EGY)

Rachel Grinham (AUS) mln [2] NICOL DAVID (MAS)

(NotA: [ ] kedudukan pilihan

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X