Jumaat, 22 April 2016 | 9:41am

Penyokong sukar terima Owen duta antarabangsa Liverpool

LIVERPOOL: Pelantikan Micheal Owen sebagai duta antarabangsa pertama Liverpool tidak diterima baik sebahagian penyokong yang masih tidak boleh menerima keputusan bahawa penyerang itu menyertai musuh ketat The Reds, Manchester United.

Tugas itu menyaksikan bekas pemain England itu menjalin hubungan dengan peminat di serata dunia, selain mewakili kelab di majlis komersial dan bersama penyokong.

Owen bermula daripada skuad remaja Liverpool sebelum meledak 158 gol dalam 297 penampilan dalam tujuh musim buat Liverpool yang menyaksikan dia menjadi tonggak pasukan merangkul tiga kejuaraan pada 2001, terutama dua gol yang diledaknya menentang Arsenal untuk meraih Piala FA.

OWEN diapit Paul Scholes dan Ryan Giggs (kanan) bergambar bersama trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dimenangi ketika bersama Manchester United.
OWEN diapit Paul Scholes dan Ryan Giggs (kanan) bergambar bersama trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dimenangi ketika bersama Manchester United.

Bagaimanapun, penghijrahan Owen ke Real Madrid pada 2004 dan kemudiannya menyertai United, membolehkan dia merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) - masih lagi meninggalkan bekas di hati penyokong Liverpool.

Kebanyakan daripada mereka meluahkan kekecewaan mereka di laman media sosial dengan komen yang berbunyi antaranya 'Micheal Owen yang beraksi bersama United? Oh tidak, terima kasih saja dan juga 'Saya lebih rela melihat El Hadji Diouf menjadi duta'.

Komen lain adalah 'sukar dipercayai apabila seorang pengkhianat mewakili pasukan kami.'

Owen adalah satu-satunya pemain Liverpool yang dianggap sebagai pemain terbaik di Eropah selepas merangkul anugerah Ballon d'Or pada 2001.

Menerusi pelantikannya selepas 20 tahun membuat penampilan pertamanya, dia berkata 'sebagai penyokong Liverpool, saya begitu berbangga apabila dilantik menjadi duta antarabangsa buat pasukan ini.

"Liverpool adalah pasukan terhebat di dunia dan begitu hebat rasanya apabila saya mewakili pasukan ini secara rasmi sekali lagi." - AGENSI

Berita Harian X