Jumaat, 22 April 2016 | 12:59am

Funes Mori mohon maaf terjah Origi


PERTAHANAN Everton, Ramiro Funes Mori. - Foto Reuters

LONDON: Pertahanan Everton Ramiro Funes Mori tampil memohon maaf selepas dibuang padang gara-gara insiden terjahan ngerinya ke atas Divock Origi ketika pasukannya tewas 4-0 kepada Liverpool dalam pertembungan jiran tetangga Merseyside, semalam.

Pemain antarabangsa Argentina itu dilayangkan kad merah pada minit ke-50 selepas memijak buku lali Origi sekali gus menyebabkan penyerang Belgium itu diusung keluar padang.

Buat masa ini, Origi hanya disahkan mengalami kerosakan ligamen yang teruk dan bukannya patah pada bahagian terbabit.

Funes Mori, 25, dikritik di media sosial selepas melakukan provokasi dengan mencium lencana jersi Everton di depan penyokong Liverpool ketika keluar dari padang dan sebentar tadi dia tampil memohon maaf menerusi laman Twitter miliknya.

"Saya sangat menyesal dengan apa yang berlaku," tulisnya. "Saya tidak mempunyai niat menyakitkan lawan dan rakan sepasukan dengan meninggalkan padang.

"Dan mengenai Origi, saya berharap ia tidak serius dan saya juga tidak mempunyai niat untuk mencederakan dia. Saya meminta maaf dengan apa yang berlaku." - AFP


PENGADIL, Robert Madley melayangkan kad merah kepada Funes Mori pada minit ke-50 perlawanan. - Foto Reuters

Berita Harian X