Khamis, 21 April 2016 | 8:30pm

Leicester boleh tanpa Vardy

Jamie Vardy

LEICESTER: Pertahanan Leicester, Christian Fuchs optimis pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak berdepan masalah memenangi aksi meskipun tanpa kelibat Jamie Vardy yang mungkin digantung lebih daripada satu perlawanan.

Penyerang antarabangsa England itu dibuang padang ketika mereka seri 2-2 menentang West Ham United sekali gus menyaksikan dia bakal terlepas aksi menentang Swansea City di laman sendiri, Ahad ini.

Namun, pemain berusia 29 tahun itu didakwa atas tindakan tidak wajar oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) selepas bertelagah dengan pengadil perlawanan, Jon Moss susulan layangan kad kuning kedua kerana merebahkan badan.

Meskipun mengakui kehilangan pemain itu adalah satu tamparan yang besar, namun Fuchs yakin kelibat Leonardo Ulloa mampu untuk menggantikan tempat penjaring terbanyak The Foxes itu.

"Ini adalah satu situasi yang baharu buat kami kerana Jamie tidak pernah lagi terlepas mana-mana perlawanan setakat ini, tetapi kami mampu melalui situasi ini," kata pertahanan itu kepada BBC World Service Sport.

"Kami memiliki keyakinan dan kualiti. Setiap kali Ulloa diturunkan sebagai pemain gantian, dia memperaga aksi yang baik dan memainkan peranan yang besar buat pasukan untuk kami terus bersaing."

Dengan Leicester City sekadar seri, Tottenham Hotspurs yang menghuni tangga kedua liga berjaya merapatkan jurang kepada lima mata selepas kelab London itu membelasah Stoke City 4-0.

Bagaimanapun, Fuchs menegaskan 'tiada apa yang merugikan' mereka dengan saingan kini hanya berbaki empat perlawanan sahaja lagi.

"Mereka beraksi dengan baik ketika menentang Stoke namun situasi itu tidak memberi tekanan kepada kami. Kami langsung tidak merasakan tekanan.

"Tiada siapa yang menjangka kami akan memiliki kelebihan lima mata di puncak liga dengan baki empat perlawanan lagi. Jadi di mana tekanan buat kami? Tiada apa yang merugikan kami," katanya. - Agensi

Berita Harian X