Khamis, 21 April 2016 | 5:45pm

NSTP meterai perjanjian bersama dengan NUNW


AZLAN (dua dari kiri) bersama Rahim menandatangani dokumen pada majlis memeterai CA yang ke-15 bagi penggal 2014-2017 di Balai Berita Bangsar, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) memeterai Perjanjian Bersama (CA) yang ke-15 bagi penggal 2014-2017 dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Akhbar Kebangsaan (NUNW), di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata perjanjian dicapai berikutan syarikat mengetahui kualiti kerja ditunjukkan pekerja selama berkhidmat dengan syarikat walaupun industri berhadapan situasi sukar sejak kebelakangan ini.

Katanya, meskipun industri media dan akhbar di negara ini dihimpit ketidaktentuan ekonomi, syarikat masih lagi dapat mewujudkan satu situasi menang-menang antara kedua pihak.

"Walaupun bukan semua permintaan dari NUNW kita realisasikan, apa yang dicapai pada kali ini seimbang kerana syarikat menambahbaik skim yang dirasakan penting pada masa ini seperti perubatan untuk dimanfaatkan ahli kesatuan termasuk keluarga mereka.

"Selain penambahbaikan, kita juga setuju untuk mewujudkan manfaat baharu untuk ahli antaranya cuti isteri bersalin untuk suami selama tiga hari, baucar festival, cuti kematian dan token," katanya.

Yang turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Presiden NUNW, Rahim Omar; Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan dan Pengurus Besar Pengeluaran NSTP, Aszman Kasmani.

Antara persetujuan yang dicapai dalam CA berkenaan adalah penambahbaikan hal kebajikan yang akan memanfaatkan lebih 600 ahlinya membabitkan skim perubatan, insurans dan faedah bersalin.

Peningkatan beberapa elaun turut diumumkan dalam CA itu seperti elaun kenderaan, makanan, tanggungjawab dan pemindahan.

Dalam pada itu, Azlan berharap perjanjian yang dicapai ini dapat melonjak prestasi dan kualiti kakitangan selama berkhidmat dengan syarikat.

Berita Harian X