Khamis, 21 April 2016 | 10:06am

Vardy bukan sengaja rebahkan badan - Hodgson

PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil melayangkan kad kuning kedua kepadanya sekali gus diarah keluar padang pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United di Stadium King Power, 17 April lalu. - Foto AP

LONDON: Penyerang Leicester City, Jamie Vardy tidak seharusnya dibuang padang selepas merebahkan badan ketika keputusan seri 2-2 menentang West Ham United minggu lalu, kata pengurus England, Roy Hodgson.

Vardy yang memiliki enam penampilan bersama skuad kebangsaan dilayangkan kad kuning kedua selepas dikatakan merebahkan badan di babak kedua pada aksi yang berlangsung di Stadium King Power itu, Ahad lalu.

Reaksi berang Vardy selepas dipaksa keluar dari padang menyaksikan dia didakwa oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) dan bakal menghadapi penggantungan dua perlawanan namun Hodgson menegaskan Vardy memiliki sebab tersendiri untuk mengeluarkan reaksi sedemikian.

"Vardy dibuang padang namun saya tegaskan insiden terbabit tidak nampak seperti dia sengaja merebahkan badan," kata Hodgson.

"Saya beranggapan dia hilang keseimbangan badan kerana berlari pada kelajuan sebegitu. Saya juga beranggapan ia sepatutnya bukan penalti.

"Mungkin ada sedikit sentuhan oleh pertahanan yang cuba mengawal pergerakan. Jadi dia hilang keseimbangan badan dan akhirnya jatuh.

"Kebanyakan pengkritik akan mengatakan dia cuba merebahkan badan namun lihat keadaannya. Saya tidak nampak seperti dia sengaja merebahkan diri. Dia hanya tidak bernasib baik."

Tindakan Vardy yang dilihat memarahi pengadil perlawanan, Jon Moss menghiasi dada akhbar di England keesokannya, namun Hodgson memahami tindakan yang dilakukan pemain berusia 29 tahun itu.

"Dia juga manusia biasa yang kadang kala mengeluarkan reaksi yang tidak sewajarnya.

"Tidak mungkin dia akan berkata 'baiklah pengadil, saya faham keputusan anda', bersalam dengannya dan semoga menikmati perlawanan dengan baik.

"Namun perkara sebegitu boleh berlaku kerana dia juga adalah manusia."

Dia pastinya terlepas aksi menentang Swansea City di laman sendiri dan berkemungkinan besar terlepas perlawanan menentang Manchester United, minggu hadapan. - AFP

Berita Harian X