Ahad, 17 April 2016 | 12:39am
SEBAHAGIAN daripada pakaian rasmi dan istiadat yang sudah disiapkan Rushdi. Foto Luqman Hakim Zubir
POLA jahitan disediakan oleh Rushdi sebelum melakukan kerja mengukur kain. Foto Luqman Hakim Zubir
MENGUKUR kain mengikut pola jahitan adalah antara tugas kritikal Rushdi setiap kali menyiapkan tempahan pakaian istiadat. Foto Luqman Hakim Zubir
RUSHDI menunjukkan persalinan istiadat milik Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang dijahitnya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Gementar siapkan persalinan Sultan

KUANTAN: Kedai jahit Maya Busana dekat Jalan Besar di bandar ini, mungkin kurang dikenali dalam kalangan peminat fesyen tempatan.

Namun, sejak lebih 10 tahun lalu, premis milik Rushdi Abdul Hamid itu, bertanggungjawab menyiapkan persalinan dan pakaian istiadat kerabat diraja Pahang termasuk Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Antara persalinan Sultan Pahang dan kerabat diraja lain yang menerima sentuhan Rushdi, termasuklah baju Melayu, pakaian istiadat diraja dan sut makan malam, di samping pakaian penerima darjah kebesaran serta pakaian orang kenamaan dan pegawai tinggi kerajaan.

Walaupun berpengalaman menyiapkan tempahan keluarga diraja Selangor dan Perak ketika bekerja di Kuala Lumpur, Rushdi berkata, dirinya tetap gementar apabila diberi tanggungjawab menyiapkan persalinan Sultan Ahmad Shah pada 2005.


PERSALINAN istiadat milik Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang baru disiapkan oleh Rushdi. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Ketika itu, rasa hendak demam pun ada tetapi saya kuatkan semangat serta fokus sepenuhnya demi menunaikan amanah yang diberi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, sehingga kini mereka masih mendapat khidmat saya," katanya.

Dalam usaha menyiapkan tempahan busana itu, Rushdi turut membuat penyelidikan serta mendapatkan pandangan bahagian protokol istana bagi memastikan pakaian dihasilkan menepati ciri-ciri sesuatu istiadat yang akan berlangsung di istana.

Beliau yang dibantu isterinya, Zanariah Johar, 44, dalam menyiapkan tugas itu, berkata selain memastikan material digunakan berkualiti tinggi, ada juga komponen diimport bagi kegunaan pada pakaian istiadat tertentu.

Rushdi yang berasal dari Alor Setar, Kedah, berkata kesukaran hidupnya sejak kecil dan perlu menyara keluarga selepas bapanya, Abdul Hamid Osman, meninggal dunia pada 1991, menguatkan azamnya menjadi tukang jahit berkualiti untuk membina kehidupan lebih baik.


RUSHDI bersama isterinya, Zanariah, gigih membangunkan kedai jahit mereka, Maya Busana yang terletak di Jalan Besar, Kuantan. Foto Luqman Hakim Zubir

Beliau yang juga anak sulung kepada sembilan beradik, mengikuti pengajian dalam bidang jahitan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, Melaka sebelum bekerja sebagai tukang jahit, bagi membantu menyara keluarga.

"Saya merantau ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai tukang jahit di Medan MARA bagi menimba pengalaman serta meningkatkan kemahiran jahitan, memotong kain dan mengukur baju.

"Setiap hari saya bekerja mulai 9 pagi hingga tengah malam. Segala-galanya saya buat demi membina kehidupan lebih baik kerana pernah bekerja sebagai buruh binaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Rushdi yang juga bapa kepada enam anak berusia tiga hingga 24 tahun, berkata pada 1996 beliau membuat keputusan membuka kedai sendiri, yang mulanya berjalan lancar sebelum ditutup dua tahun kemudiannya akibat kegawatan ekonomi.


RUSHDI mengambil ukuran baju pada badan pelanggan yang mengunjungi kedai jahitnya, Maya Busana, di Jalan Besar, Kuantan. Foto Luqman Hakim Zubir

"Meskipun menutup perniagaan, saya kemudiannya bergerak secara bebas dan mengambil kerja luar sehingga berpeluang membeli kedai jahit daripada bekas majikan di Kuantan, yang saya namakan Maya Busana hingga kini.

"Sejak itu, saya berusaha mengembangkan perniagaan jahitan hingga menerima tempahan dari seluruh negara termasuk luar negara, terutama individu yang menerima pingat kebesaran daripada Sultan Pahang," katanya.

Rushdi berkata, hasil sokongan isteri dan keluarganya, beliau merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan termasuk memperkenalkan jenama sendiri.

Berita Harian X