Sabtu, 16 April 2016 | 4:23pm
Keadaan kereta dinaiki mangsa yang tertusuk besi penghadang jalan. - Foto Mohamad Hairi Azmi Tham

Seorang maut, 2 cedera nahas lima kenderaan


Keadaan kereta dinaiki mangsa yang tertusuk besi penghadang jalan. - Foto Mohamad Hairi Azmi Tham

KUALA KANGSAR: Seorang maut manakala dua cedera termasuk seorang parah dalam nahas membabitkan sebuah lori dengan empat kereta di Kilometer 256.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara berhampiran Terowong Menora, dekat sini, pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Sabariah Mohamad, 56, manakala Nurul Nabihah Nasir, 24, cedera parah.

Pemandu kereta yang hanya dikenali sebagai Abdul Razak, 26, cedera ringan.

Difahamkan, lori berkenaan merempuh tiga kereta PERODUA Myvi dan sebuah Toyota Vios.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa adalah pemandu dan penumpang satu daripada PERODUA Myvi berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Pegawai Bomba Kanan ll Abdul Halim Mat Siga, berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan pada jam 11.27 pagi.

Sebaik tiba di lokasi, katanya, hanya empat kereta yang terbabit kemalangan ditemui manakala lori berkenaan tiada di tempat kejadian.

"Kita menemui ketiga-tiga mangsa dalam sebuah Myvi biru dalam keadaan tersepit berikutan besi penghadang jalan tertusuk pada cermin depan.

"Pemeriksaan mendapati pemandu lelaki berusia 26 tahun cedera ringan manakala penumpang wanita di kerusi hadapan berusia 24 tahun tersepit.

"Seorang penumpang di belakang berusia 56 tahun didapati sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan menyerahkan kepada ambulans Pasukan Kecemasan dan Menyelamat (EMRS) bomba bagi dihantar ke hospital.

Berita Harian X