Jumaat, 15 April 2016 | 8:50am

Wanita parah melecur dalam kebakaran rumah

GEORGETOWN: Seorang wanita parah akibat melecur hampir 80 peratus anggota badan selepas rumah didiaminya di Taman Pantai Jerjak, dekat sini, terbakar awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi dipercayai akibat kebocoran gas memasak itu turut menyebabkan hampir keseluruhan bahagian atas rumah dua tingkat berkenaan musnah, selain sebahagian ruang bawah premis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.08 pagi sebelum sebuah jentera bersama 12 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.

"Sebaik sampai, seorang mangsa iaitu wanita berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan dengan hampir 80 peratus badannya melecur dan mangsa dirawat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Kebakaran membabitkan sebuah premis dua tingkat dan tindakan segera diambil terutama dalam memastikan tiada lagi punca api serta keadaan selamat," katanya.

Wanita yang melecur teruk itu kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang oleh JPAM untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X