Jumaat, 15 April 2016 | 12:01am
ZUL Ariffin mendakwa pernah dihentam netizen gara-gara kontroversi dalam hubungan dengan Zahirah Macwilson. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
ZUL Ariffin bergandingan dengan Izara Aisyah dalam drama terbaharu berjudul Mr London dan Ms Langkawi.

Zul Ariffin terima amaran Gayatri


KISAH cinta terputus di pertengahan jalan di antara pelakon, Zul Ariffin dan penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai, sudah lama diketahui umum.

Malah, wanita berkenaan juga sudah membuat pengakuan terbuka berkenaan hal itu.

Namun, biarpun sudah tidak lagi bergelar pasangan kekasih, kedua-dua tetap bersahabat dan tidak pernah bermasam muka.

Sekeping foto memperlihatkan Zul bersama ibunya menyambut ulang tahun Gayatri, seperti dimuat naik wanita itu baru-baru ini, sudah cukup membuktikan dia dan bekas kekasih masih berkawan baik walaupun pada masa sama lelaki itu dikatakan sedang mengenali hati budi bakat baharu yang jelita, Zahirah McWilson.

Bagaimanapun, selepas isu foto berpegangan tangan antara Zul dan Zahirah, selain kes cubaan menculik anak kepada pelakon dan bekas pembaca berita, Zainol McWilson, itu menjadi viral sekali gus mencetuskan kontroversi berpanjangan, berita membabitkan pasangan ini bagaikan terus lenyap.

ZUL Ariffin dakwa tiada kena-mengena dengan populariti Zahirah yang dilihat kian merudum. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

FOTO Zul Ariffin berpegangan tangan dengan Zahirah Macwilson pernah menjadi viral di media sosial.

Apakah kedua-duanya masih berhubungan ataupun sekadar cinta lokasi semata-mata untuk mempromosikan drama lakonan mereka?

Bagaimanapun, ketika bertemu pelakon berbadan sado ini kelmarin, Zul, 30, memberikan kenyataan seolah-olah membayangkan cintanya bersama Gayatri sudah bertaut semula.

Jika tidak, masakan Zul sanggup mengaku wanita itu ada memberikan amaran kepadanya?

"Saya akui memang Gayatri ada memberikan amaran kepada saya, tetapi ia lebih kepada peringatan supaya saya menjaga diri dan cuba mengelak daripada menjadi bahan gosip.

"Bukanlah hendak kata tetapi selepas ini saya tidak lagi bersikap terbuka jika ada pihak yang mahu bertanyakan kisah cinta, tetapi biarlah berpada-pada.

"Sebagai pelakon, ada ketika saya perlu mempromosikan produk saya dan kebetulan saya berlakon di bawah produksinya (Gayatri). Tidak mahu nanti disebabkan terlalu banyak cerita panas, ia mengganggu promosi berkenaan," katanya kepada BH.

HUBUNGAN di antara Zul dan Gayatri masih wujud.

ZUL Ariffin mengundang reaksi yang pelbagai ketika muncul di muka depan sebuah majalah kesihatan, baru-baru ini.

Penjelasan itu sedikit sebanyak meleraikan persoalan mengapa sejak kebelakangan ini pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin ini lebih selesa bersikap 'low profile' dan tiada lagi cerita panas melingkari hidupnya, kecuali kisah beliau membuka baju ketika menjalani penggambaran sampul depan sebuah majalah kesihatan yang menjadi bualan netizen baru-baru ini.

Berbanding Zul yang masih aktif berlakon dan bakal muncul dengan drama bersiri terbaharu berjudul 'Mr London dan Ms Langkawi' tidak lama lagi di Astro, lain pula kisahnya dengan Zahirah yang mula dikenali menerusi drama Mencintaimu itu.

Jika pada awal kemunculannya gadis terbabit begitu popular, kini namanya tidak lagi sehangat dulu.

Apakah populariti yang kian merudum ini ada kaitannya dengan gosip cinta bersama Zul? Jika benar, maknanya lelaki terbabit boleh dipersalahkan.

Menjawab pertanyaan itu, pelakon yang cukup popular dengan drama bersiri Rindu Awak 200% ini menepis dakwaan nakal berkenaan.

"Saya tiada kena-mengena langsung dengan populariti dirinya. Kenapa pula nak kaitan kontroversi yang pernah dihadapi dengan populariti dan kerjayanya yang merudum itu?

"Jika hendak diikutkan, sayalah yang paling teruk dihentam netizen gara-gara kontroversi itu," tegasnya.

Berita Harian X