Khamis, 14 April 2016 | 10:49pm

Celcom perkenal perkhidmatan WONDEROAM

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd menyelesaikan kebimbangan pengguna terhadap perkhidmatan perayauan antarabangsa dengan memperkenalkan WONDEROAM.

Perkhidmatan data perayauan antarabangsa itu melanjutkan pengalaman perayauan antarabangsa mudah alih pengguna dalam hanya satu kadar tetap menerusi dua pelan iaitu pelan harian dan pelan mingguan.

WONDEROAM 1 DAY Internet RM38 menyediakan liputan data 160 negara, sekurang-kurangnya dua operator pilihan, 50MB internet berkelajuan tinggi dan sistem automatik menghentikan penggunaan data apabila di luar operator pilihan.

WONDEROAM 1 Week RM138 pula adalah pek eksklusif kepada pengguna pelan FiRST GOLD dan FiRST PLATINUM yang menawarkan panggilan dan SMS tanpa had, dan 3GB internet di 10 negara terpilih.

Ketua Jualan dan Pemasaran Celcom Axiata, Zalman Aefendy Zainal Abidin, berkata bagi pengguna akaun prabayar Xpax, pihaknya menyediakan WONDERAOAM 1 Day Social RM10 sehari di 10 negara.

"Menerusinya, pelanggan Xpax akan menikmati 1GB untuk Facebook, Twitter dan Whasapp, 50MB internet berkelajuan tinggi percuma, dan 50MB Internet berkelajuan biasa," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi pakej perayauan baharu itu, pihaknya berharap sebahagian besar daripada pelanggan perayauannya akan memilih untuk menggunakan perkhidmatan itu tanpa bimbang mengenai kosnya kelak.

Katanya, Celcom yakin, jumlah data dan keperluan kuota internet yang diperuntukkan kepada pelanggannya menerusi pakej itu mencukupi mengikut keperluan mereka ketika berada di luar negara.

"Kita akan perluaskan lagi jumlah liputan negara yang akan disediakan pakej ini dari masa ke masa," katanya.

Berita Harian X