Khamis, 14 April 2016 | 12:26pm

Pengawal mogok, kunci pagar sekolah

SEKURANG-KURANGNYA 100 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Keat Hwa (S), Kampung Baru, tidak dapat masuk ke sekolah selepas pintu pagar dikunci pengawal keselamatan. - Foto ihsan pembaca

KAIN rentang di luar pagar sekolah. - Foto ihsan pembaca

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 100 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Keat Hwa (S), Kampung Baru, dekat sini, tidak dapat masuk ke sekolah selepas pintu pagar utama premis itu dikunci pengawal keselamatan.

Pengawal keselamatan berbuat demikian berikutan dakwaan masalah gaji yang tidak dibayar majikan, sekali gus menyebabkan semua murid yang hadir seawal jam 6.30 pagi terkandas di hadapan pintu pagar sekolah.

Selain murid, beberapa pekerja kantin dan guru turut gagal masuk ke sekolah.

Difahamkan, terdapat juga kain rentang di luar pagar sekolah yang tertulis 'Sila jelaskan gaji, tunggakan dan caruman KWSP, ...kami nak makan, kami ada keluarga, kami nak bayar sewa' yang dipercayai digantung pengawal keselamatan selepas mendakwa empat bulan tidak menerima gaji daripada majikan mereka.

Pengerusi Pengelola sekolah itu, Lim Gek Leng, berkata pihaknya dimaklumkan, pagar sekolah itu hanya boleh dibuka selepas seorang guru lelaki memanjat pagar dan mengambil kunci di bilik pengawal keselamatan.

"Kami dimaklumkan seramai empat pengawal keselamatan yang berkhidmat di sini mengalami tunggakan gaji lebih RM5,000 seorang sejak Januari lalu.

Berita Harian X