Selasa, 12 April 2016 | 7:51pm

Mah Sing unjur jualan RM2.3b tahun ini


Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (tengah) bersama Pengarah Eksekutif Korporat dan Pelaburan Kumpulan Mah Sing, Datuk Steven Ng(kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Ng Chai Yong (kanan) bergambar di hadapan gerai pameran Mah Sing di Persidangan Invest Malaysia 2016. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), pemaju hartanah terkemuka di Malaysia yakin akan mencapai sasaran jualan sebanyak RM2.3 bilion tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata kumpulan itu sudah mencapai sasaran jualan sebanyak RM2.3 bilion pada 2015 dan sedang berusaha untuk menyamai angka itu bagi tahun ini.

"Kita sudah mencapai jualan kira-kira RM408 juta hingga 31 Mac lalu, walaupun hari bekerja yang pendek dalam suku pertama disebabkan oleh cuti musim perayaan.

"Kita dalam kedudukan baik untuk mencapai sasaran jualan 2016 sebanyak RM2.3 bilion dengan barisan produk yang luas terletak di lokasi utama dan pada harga menarik," katanya pada sidang media sempena Invest Malaysia 2016 di sini, hari ini.

Kumpulan itu ketika ini mempunyai 46 projek dan daripada jumlah itu, 11 projek sudah disiapkan merangkumi projek kediaman, industri dan komersial.

Berita Harian X