Selasa, 12 April 2016 | 10:30am
FOTO menunjukkan sebuah bot peronda pantai China menghampiri bot nelayan Filipina dekat Scarborough Shoal, Laut China Selatan pada Oktober tahun lalu. - Foto AP

China selar G7 berhubung tuntutan wilayah

BEIJING: China marah selepas menteri-menteri luar Kumpulan Tujuh (G7) menegaskan mereka menentang provokasi China membabitkan pertikaian wilayah di Laut China Timur dan Laut China Selatan, hari ini.

"Kami menggesa anggota negara G7 untuk menghormati komitmen mereka dan tidak menyokong mana-mana pihak dalam isu membabitkan pertikaian wilayah," menurut Kementerian Luar China dalam satu kenyataan.

Menurutnya, G7 perlu menumpu kepada tadbir urus ekonomi global dan kerjasama membendung pertumbuhan ekonomi lemah dan bukan melobi pertikaian sehingga mencetuskan masalah.

Semalam, Menteri Luar G7, selepas mesyuarat di bandar Hiroshima, Jepun, berkata mereka menentang sebarang paksaan atau tindakan bersendirian provokatif yang boleh mengubah keadaan sedia ada dan meningkatkan ketegangan di Laut China Timur dan Laut China Selatan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas, dan sedang membina pulau-pulau di terumbu bagi menyokong tuntutan itu.

Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga mempunyai tuntutan ke atas sebahagian laluan perdagangan itu yang bernilai kira-kira AS$5 trilion (RM19.3 trilion) setahun itu. - Reuters

Berita Harian X