Isnin, 11 April 2016 | 5:25pm
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan (tiga dari kanan) bersama Pakar Rujuk Tenun Johor, Prof Dr Siti Zainun Ismail (kanan) membuat lawatan ke bengkel tenun Johor selepas melancarkan pra pelancaran Bengkel Tenun Johor di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Johor perkenal 10 rekaan baharu kain tenun Johor


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan mencuba menenun songket selepas melancarkan pra pelancaran Bengkel Tenun Johor di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan memperkenalkan 10 rekaan corak baharu kain tenun Johor yang melambangkan kemuafakatan di setiap kepelbagaian lapisan masyarakat sebagai simbolik yang menyatukan bangsa Johor.

Rekaan corak baharu yang akan dipatenkan termasuk Songket Johor Jauhar dan Medini untuk Sultan Johor, Songket Johor Maharani khas bagi Permaisuri, Songket Tunku Mahkota Johor, Tenun Johor Tanjung Piai dan Tenun Johor Bercorak Renek bagi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata usaha itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi mengembalikan sejarah tenunan yang menjadi kebanggaan negeri ini.

Katanya, penyelidikan mengenai sejarah tenunan Johor oleh Yayasan Warisan Johor dan pakar rujuk dijalankan sejak tahun 2013 dalam usaha menghasilkan motif serta corak khusus bagi melambangkan kepelbagaian di Johor.

"Usaha ini dilihat membantu dalam usaha bagi memartabatkan seni tenunan Johor, sekali gus menjadi produk baharu yang akan mengangkat warisan negeri ini.

"Jika dilihat Johor zaman dahulu, kita melihat wujudnya keakraban, kekuatan dan kekukuhan masyarakat ketika itu dan bagaimana setiap kepelbagaian ini boleh disatukan menjadi bangsa Johor," katanya pada sidang media selepas majlis Prapelancaran Bengkel Tenun Johor dan Anugerah Lensa Johor, di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat dan Pakar Rujuk Tenun Johor, Prof Dr Siti Zainon Ismail serta Dr Norwani Nawawi.

Zulkurnain berkata, kegemilangan tenunan Johor akan ditingkatkan termasuk menjadikan tenun sebagai perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS), selain melatih belia yang berminat dalam usaha membina tenaga mahir di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri merancang mengeluarkan sijil kemahiran daripada yayasan dan Institut Kraftangan Malaysia kepada belia yang mempelajari tenunan.

Berita Harian X