Khamis, 7 April 2016 | 7:51pm

Singapore Airlines tambah kepentingan dalam Virgin Australia

SINGAPORE Airlines.

SYDNEY: Singapore Airlines Ltd meningkatkan pegangannya dalam Virgin Australia Holdings Ltd, seminggu selepas isu pemilikan dalam syarikat penerbangan bernilai AUS$1.3 bilion (RM3.85 bilion) itu masih samar.

Syarikat penerbangan Singapura itu meningkatkan pegangannya kepada 23.11 peratus daripada 22.91 peratus, katanya dalam satu kenyataan.

Pembelian itu membabitkan pertimbangan tunai AUS$3.18 juta (RM9.42 juta) bagi menyelesaikan satu siri pertukaran ekuiti, atau 46.7 sen pada kadar purata bagi setiap saham Virgin Australia.

Spekulasi berhubung pemilikan Virgin Australia memuncak minggu lalu selepas pemegang saham terbesarnya, Air New Zealand Ltd, berkata ia mempertimbangkan untuk keluar daripada syarikat itu.

Sementara pembelian saham terbaharu itu tidak banyak memberi perubahan kepada pemilikan Singapore Airlines dalam Virgin Australia, ia membayar 32 peratus lebih tinggi daripada harga penutup Virgin Australia bagi mendapatkan saham tambahan berkenaan.

"Sekiranya kita mahu membuat kesimpulan longgar daripada pengumuman itu, ia menunjukkan Singapore Air tidak menolak untuk menyuntik lebih banyak tunai ke dalam Virgin," kata Citigroup Inc dalam satu nota.

Saham Virgin menokok 2.1 peratus kepada 36.25 sen pada 1.33 petang di Sydney.

Singapore Airlines mendapat kelulusan lembaga Semakan Pelaburan Asing Australia yang membenarkannya meningkatkan kepentingan dalam Virgin Australia kepada 25.9 peratus.

Air New Zealand pada 30 Mac berkata ia berkemungkinan menjual sebahagian atau kesemua 25.89 peratus kepentingan dalam Virgin Australia yang berpangkalan di Brisbane.

Etihad Airways PJSC menguasai 24 peratus kepentingan dalam Virgin Australia, menjadikannya pemegang saham kedua terbesar, manakala Virgin Group menguasai 10 peratus, demikian menurut data dikumpul Bloomberg.

Virgin Australia meminjam AUS$425 juta (RM1.258 bilion) daripada pemegang saham utamanya bulan lalu, memberikan syarikat penerbangan itu masa untuk menyemak semula kunci kira-kiranya. - Bloomberg

Berita Harian X