Khamis, 7 April 2016 | 11:39am

Wakaf bolehkan agihan ekonomi adil: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, wakaf adalah satu mekanisme yang membolehkan pengagihan ekonomi secara adil dan saksama. 

Titah baginda, wakaf juga mampu mengurangkan jurang agihan kekayaan yang semakin melebar sekarang dan dibuktikan pada era kegemilangan Islam apabila konsep itu digunakan secara efektif untuk memenuhi keperluan hidup masyarakat.

"Wakaf bukan sahaja memenuhi peranan sebagai mekanisme pengagihan kekayaan secara adil dan saksama, tetapi turut berperanan memperkukuhkan keupayaan individu dan keupayaan masyarakat yang memerlukan bantuan," titah Sultan Perak.

Bertitah melancarkan Waqaf Perak Ar-Ridzuan, di sini pagi ini, Sultan Nazrin menegaskan, antara punca berlaku jurang agihan kekayaan ialah sifat tamak, khususnya dalam kalangan peniaga yang mahu mengaut keuntungan hingga ke tahap bersedia melakukan pelbagai manipulasi.

Manipulasi itu, titah baginda, dilakukan dengan tujuan mahu mengelak daripada memenuhi tanggungjawab kewangan dan sosial terhadap masyarakat serta negara. 

"Peniaga dan syarikat multinasional yang memperoleh keuntungan besar, dilaporkan memerah tenaga pekerja bergaji rendah, melakukan pelbagai helah untuk mengelak daripada membayar cukai dengan menyorok keuntungan sebenar syarikat di luar negara," titah Sultan Nazrin.

Sultan Perak bertitah, di negara ini, wakaf sebagai instrumen kewangan bukanlah subjek asing dan menjadi sumber yang membiayai pembangunan institusi pendidikan tradisi seperti pondok, madrasah, sekolah agama, surau dan masjid. 

Namun, titah baginda, wakaf yang memiliki asas dan menunjukkan kejayaan awal, kemudian bukan sahaja gagal berkembang, sebaliknya terus menguncup disebabkan faktor pengurusan lemah dan kurang profesional untuk menghadapi senario ekonomi dan perniagaan lebih dinamik dan mencabar. 

Berita Harian X