Selasa, 5 April 2016 | 9:00am

Jerebu di Beaufort, Kota Kinabalu semakin pulih

KOTA KINABALU: Jerebu di daerah Beaufort dan Papar yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam, berkurangan ke tahap sederhana pagi ini.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, berkata setakat jam 6 pagi tadi, bacaan IPU di Beaufort dan Papar ialah 84, manakala di Kota Kinabalu (71) dan Keningau (58). IPU di Beaufort dan Papar semalam mencatatkan bacaan tidak sihat lebih 150.

Sebanyak 83 sekolah di Beaufort, Papar dan Kuala Penyu masih ditutup hari ini, membabitkan 22,782 murid dan pelajar.

Jerebu teruk di beberapa daerah di Sabah sejak minggu lalu disebabkan kebakaran Hutan Simpan Tanah Gambut di Klias dan Hutan Simpan Tanah Gambut Binsuluk di Beaufort, membabitkan keluasan lebih 200 hektar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menerusi kenyataan malam tadi, berkata kebakaran dua kawasan hutan simpan itu sudah dikawal, namun bara api dalam lapisan tanah gambut masih mengeluarkan kepulan asap tebal yang menyebabkan ruang udara kawasan sekitar berjerebu.

Berita Harian X