Ahad, 3 April 2016 | 8:23pm
Craig Alexander dari Australia memenangi pertandingan Ironman 70.3 kategori profesional lelaki setelah menamatkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 1.9 km, berbasikal sejauh 90 km dan berlari sejauh 21.1 km dengan catatan masa 03:55:33 pada Kejohanan Time Ironman 70.3 Putrajaya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Alexander, Alexander juara Ironman Putrajaya 2016

PUTRAJAYA: Juara Dunia Ironman 70.3 sebanyak dua kali, Craig Alexander dari Australia dan Radka Alexander mewakili Republik Czech, menjuarai kategori lelaki dan wanita Ironman 70.3 Putrajaya 2016, di sini hari ini.

Alexander mencatatkan 3 jam, 55 minit dan 36 saat untuk mengatasi dua pencabar terdekatnya, Josh Amberger dari Australia dan Stuart Hayes dari Great Britain yang masing-masing mencatatkan 3:59:05s dan 4:01:25s.

"Ia benar-benar satu pengalaman manis untuk menang selepas saingan di Subic Bay, Filipina baru-baru ini.

"Bahang panas terasa semasa berada dalam air dan melakukan kayuhan. Saya mengekalkan konservatif semasa renang dan cuba mengekalkan rentak semasa melakukan kayuhan.

"Saya beraksi dengan baik semasa larian dan dapat mengejar Josh. Beliau adalah seorang atlet muda yang berpotensi dan seorang daripada perenang terbaik yang pernah saya hadapi," kata Alexander.

Sementara itu, Vodickova, yang menjuarai kategori wanita pada 2014, sekali lagi menampilkan aksi cemerlang dengan catatan 4:22:16s.

Dia melakukan empat minit lebih pantas untuk mendahului lawannya, Liz Blatchford dan Kate Bevilaqua, kedua-duanya dari Australia.

Blatchford dan Bevilaqua masing-masing melakukan catatan 4:26:05s dan 4:36:18s.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga menyertai acara dan dapat menamatkan 1.9 km (renang), 90 km (kayuhan basikal) dan 12.1 km (larian).

Juara dalam acara lelaki dan wanita, masing-masing menerima hadiah wang tunai US$3,000 (RM11,674), naib juara US$2,000 (RM7,783) dan US$1,250 (RM4,864) bagi pemenang tempat ketiga.

Keputusan Lima Terbaik:

Lelaki:

1. Craig Alexander (AUS) 3 jam 55 minit 36 saat

2. Josh Amberger (AUS) 3'59:05s

3. Stuart Hayes (GBR) 4'01:25s

4. Brad Kahlefeldt (AUS) 4'03:15s

5. Adam Gordon (NZL) 4'04:48s

Wanita:

1. Radka Alexander (CZE) 4 jam 22 minit 16 saat

2. Liz Blatchford (AUS) 4'26:05s

3. Kate Bevilaqua (AUS) 4'36:18s

4. Beth Gerdes (USA) 4'36:24s

5. Kathryn Haesner (NZL) 4'39:23s

- BERNAMA

Berita Harian X