Ahad, 3 April 2016 | 12:31pm

Keluarga Islam diarah tinggalkan pesawat AS

EAMAN-AMY Saad Shebley bersama suaminya dan tiga anak mereka. - Foto ihsan buzzfeed.com
EAMAN-AMY Saad Shebley bersama suaminya dan tiga anak mereka. - Foto ihsan buzzfeed.com

CHICAGO: Seorang juruterbang penerbangan United Airlines meminta satu keluarga Islam meninggalkan pesawat itu berikutan isu keselamatan, lapor media semalam.

Eaman-Amy Saad Shebley, suaminya dan tiga anak mereka sedang bersedia untuk berlepas ke Washington di lapangan terbang Chicago apabila juruterbang meminta mereka meninggalkan pesawat.

Terdahulu, keluarga itu bertanya jika anak kapal dapat menyediakan kerusi keselamatan untuk anak mereka.

Dua rakaman video Shebley menunjukkan pramugari dan kemudian juruterbang meminta keluarga itu meninggalkan pesawat.

Ketika cuba mendapatkan kepastian, juruterbang berkata ia membabitkan isu keselamatan tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Majlis Hal Ehwal Amerika-Islam (CAIR) menghantar surat kepada United Airlines bagi pihak keluarga menuntut tindakan tatatertib terhadap kakitangan terbabit, lapor Independent.

"Kami bosan dengan penumpang dengan penampilan Islam yang dikeluarkan dari penerbangan atas sebab yang sangat remeh, kononnya isu keselamatan," kata Pengarah Eksekutif CAIR Chicago, Ahmad Rehab dalam satu kenyataan.

"Keselamatan bermakna memastikan keselamatan penumpang, bukan mengganggu, menghina dan mengusir mereka keluar dari pesawat hanya kerana mereka meminta bantuan keselamatan."

Syarikat penerbangan itu berkali-kali memohon maaf kepada keluarga Shebley selepas meninggalkan pesawat dan mendapatkan penerbangan lain buat mereka.

Dalam satu kenyataan kepada BuzzFeed News, United Airlines berkata keluarga itu diberikan penerbangan gantian kerana bimbangkan kerusi keselamatan anak mereka yang tidak mematuhi peraturan keselamatan persekutuan dan menegaskan, syarikat penerbangan itu mengamalkan "toleransi sifar ke atas diskriminasi". - Agensi

Berita Harian X