Ahad, 3 April 2016 | 12:17am
PELAWAT bergambar di pintu masuk Gua Angin.

Bau kurang promosi, pendedahan


PEKAN Bau yang mempunyai banyak tarikan tetapi kurang dipromosi.

WALAUPUN terletak kira-kira 35 kilometer dari Kuching, daerah Bau mempunyai beberapa produk menarik yang berasaskan kebudayaan, pengembaraan dan alam semula jadi (CAN) untuk dikunjungi pelancong asing.

Namun begitu, kebanyakan tempat berkenaan tidak dipromosi dengan sempurna, manakala lokasi sedia ada pula tidak dipulihara atau diselenggara dengan sempurna.

Budaya hidup unik sebahagian besar penduduk daerah itu yang terdiri daripada Bidayuh iaitu suku Dayak, dua gua batu kapur, sebuah tasik bekas lombong emas, kolam air panas, dan beberapa lagi, tidak diberi tumpuan dan dipromosikan sebagai produk pelancongan menarik.

Sejak tahun 1850-an, Bau yang keluasannya kira-kira 884.4 kilometer persegi memang terkenal dengan emas. Pencari emas pada ketika itu terdiri daripada orang Cina dari Sambas, Indonesia dan dibantu penduduk tempatan dengan menggunakan dulang.

Difahamkan sekitar tahun 1815, penduduk Cina dari daerah itu menyerang Kuching bagi menghalau Rajah Brooke kerana mereka khuatir lombong emas akan diambilalih oleh Inggeris.


MERCU tanda Pekan Bau.

Walaupun berjaya menghalau pemerintah Inggeris, tiga hari kemudian Brooke bersama askarnya kembali dan mengalahkan penyerang berkenaan.

Pada tahun 1899, Borneo Company milik kerajaan Brooke membuka lombong emas yang dikenali sebagai Tai Parit Gold Mine dan Bidi Gold Mine.

Sehingga kini, Bau masih sinonim dengan gelaran Pekan Emas Sarawak atau Gold Town of Sarawak. Nama asal Bau ialah Ulu Sarawak, manakala pekan Bau sendiri dikenali sebagai Mau San atau Bukit Mau. Dalam bahasa Cina Hakka, pekan Bau dikenali sebagai Shak Lung Mung bermaksud Pintu Pagar Naga Bukit.

Pelancong terus ke Serikin


SERIKIN menjadi tumpuan pelancong pada setiap hujung minggu.

Sungai Sarawak Kanan adalah kaedah pengangkutan utama ke daerah Bau yang mengambil masa satu hari perjalanan menggunakan perahu untuk sampai ke Kuching.

Hari ini, penduduk di daerah ini menggunakan jalan darat. Sumber pendapatan utama penduduk adalah hasil pertanian kelapa sawit, koko, getah, padi, lada hitam dan kopi.

Pada masa ini, kebanyakan pelancong tempatan, sama ada dari Semenanjung dan Sabah, lebih mengenali kewujudan pekan Serikin. Mereka sanggup ke sempadan Sarawak (Malaysia) dengan Kalimantan (Indonesia) berbanding bermacam produk pelancongan menarik di daerah itu.

Meskipun daerah ini mempunyai beberapa produk pelancongan menarik, sebahagian besar wang pelancong mengalir ke negara jiran melalui pekan Serikin.

Setiap hujung minggu bermula Sabtu hingga jam 2 petang Ahad, beberapa bas dan van pelancong tempatan dan asing berkunjung ke Serikin untuk membeli belah pelbagai jenis barangan dari Sarawak dan Indonesia yang dijual pada harga berpatutan.

Tidak banyak singgah

gn4id:12855183

Di Serikin, pelancong dapat melihat dan membeli pelbagai barangan yang agak asing dan jarang ditemui di di Semenanjung.

Barangan yang dijual kelihatan unik dan lebih menarik hati. Kebiasaannya, penjual menjual barangan rotan, tikar, pelbagai jenis kain pelikat dan kain batik, makanan ringan yang diimport dari Indonesia, barangan dapur, telekung wanita dan barangan kraf tangan.

Pemerhatian penulis, mendapati hanya sebahagian bas pelancong dan van sewa khas yang dalam perjalanan balik ke Kuching dari membeli belah di pekan Serikin yang mahu singgah sekejap di pekan Bau, untuk makan tengah hari di Taman Selera Bukit Emas atau City Cafe.

Selain itu, ada beberapa pemandu bas atau van sewa khas yang singgah sekejap di Tasik Biru Bau. Jika sebahagian pelancong yang datang ke Serikin dibawa berkunjung ke tempat menarik di Bau sekali gus berbelanja di daerah ini, ia pasti dapat membantu menambah pendapatan penduduk tempatan.

Budaya hidup, pelbagai produk makanan tempatan dan kraftangan penduduk boleh dipasarkan kepada pelancong.

Kesan penempatan manusia


PEMANDANGAN menarik dalam Gua Pari-pari.

Dua gua batu kapur iaitu Gua Angin dan Gua Bunian atau Pari-pari boleh menjadi produk menarik di Bau jika dipromosikan dengan lebih tersusun.

Gua Angin terletak kira-kira lima km di barat daya pekan Bau, bersebelahan dengan Sungai Sarawak.

Suatu ketika dahulu, kedua-dua gua itu dikatakan pernah dihuni oleh manusia berikutan terdapat beberapa kesan peninggalan mereka. Terdapat sumber aliran air boleh ditemui di dalam gua ini. Kini gua-gua ini didiami ribuan kelawar dan burung layang-layang.

Diberi nama Gua Angin kerana terowong gua itu menjadi laluan angin sepoi-sepoi bahasa yang keluar dan masuk dari satu pintu masuk gua ke pintu masuk yang lain.

Terdapat beberapa pintu masuk utama di Gua Angin, namun salah satu laluan iaitu di sebelah selatan, bersebelahan dengan Sungai Sarawak ditutup kerana batu penyokong jambatan kayu yang merentasi gua runtuh dan merosakkan struktur jambatan terbabit.

Bentuk stalagmit, stalagtit dan formasi batu kapur dalam Gua Angin terhasil sejak 60 juta tahun yang lalu. Bentuknya bermacam, malah ada yang menyerupai kepala dan rangka buaya.

Berita Harian X