Jumaat, 1 April 2016 | 8:27am

F1: Alonso terlepas saingan GP Bahrain, China

PELUMBA F1 McLaren, Fernando Alonso pada sidang akhbar di Manama menjelang GP Bahrain minggu ini. - Foto AFP
PELUMBA F1 McLaren, Fernando Alonso pada sidang akhbar di Manama menjelang GP Bahrain minggu ini. - Foto AFP

MANAMA: Pelumba F1 McLaren, Fernando Alonso terlepas saingan di Grand Prix Bahrain minggu ini serta Grand Prix China selepas tulang rusuknya didapati patah selain mengalami beberapa kecederaan lain selepas terbabit nahas dalam perlumbaan pembukaan di Litar Albert Park, Australia, bulan lalu.

Alonso tiba di Bahrain dengan harapan membaiki kecergasannya tetapi selepas menjalani ujian kesihatan di sini, pasukan perubatan FIA tidak membenarkan dia berlumba dan tempatnya kini diganti pelumba Belgium, Stefan Vandoorne, yang akan membuat penampilan pertamanya dalam F1.

Alonso juga mengakui akan menjalani rawatan susulan bersama pasukan perubatan FIA minggu depan bagi menentukan sama ada dia layak berlumba di GP China pada 17 April ini.

Pada kemalangan di GP Melbourne itu, Alonso didapati boleh berjalan sambil meninggalkan kereta lumbanya yang berkecai selepas bergesel dengan kereta dipandu Esteban Gutierrez.

"Setelah sampai ke sini dan akhirnya tidak dibenarkan berlumba, ia memang satu berita sedih untuk saya, tapi saya hormati keputusan berkenaan. Saya sudah mencuba sehingga saat terakhir untuk berlumba di sini.

"Saya akan harungi kesakitan ini dan akan pastikan saya terus dapat berlumba lagi kerana jika anda tidak terlalu memikirkannya, akan sampai saatnya nanti semua kesakitan dapat diuruskan bersama risiko yang lain,'' katanya. - Agensi

Berita Harian X